Risau Keselamatan Mangsa, Pelajar UNIMAS Beranikan Diri Terjun Tasik Selamatkan Remaja OKU

21 Jul 2025 • 11:04 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang pelajar jurusan Kerja Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bertindak berani apabila terjun ke dalam tasik bagi menyelamatkan seorang remaja perempuan yang cuba keluar daripada kereta yang hampir tenggelam.

Pelajar terbabit, Ahmad Nur Irfan Amirrudin, 22, yang juga Pegawai Kadet Kor SISPA UNIMAS, ketika itu berada di kawasan tasik bersama dua rakannya untuk mencari ‘checkpoint’ program universiti sebelum terlihat sebuah kereta berada di dalam tasik.

“Waktu tersebut dalam jam 10.30 pagi, kami terlihat ada sebuah kereta warna biru di tengah-tengah tasik.
“Kawan-kawan saya hubungi Polis Bantuan dan saya terus selamatkan sebab saya nampak ada budak yang keluar daripada kereta tersebut. Jadi saya terus pergi ke budak tersebut dan tarik dia ke darat,” katanya.

image is not available

Pelajar UNIMAS Lawan Takut

UNIMAS dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan Irfan telah menerima latihan sebagai first responder oleh Pusat Kawalan Operasi UNIMAS (PKOT) dan Kor SISPA, yang membantu dalam tindak balas pantasnya.

“Hari ini, Ahmad Nur Ifan bin Amirrudin, pelajar jurusan Kerja Sosial daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UNIMAS menjadi seorang wira apabila berjaya menyelamatkan salah seorang mangsa kemalangan yang berlaku di tasik UNIMAS.

image is not available

“UNIMAS ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Irfan dan semua orang awam yang terlibat dalam operasi menyelamat pagi tadi,” menurut kenyataan universiti itu.

image is not available

Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun itu berjaya diselamatkan, namun ibunya yang memandu kereta jenis Perodua Axia disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin memaklumkan mangsa yang maut dikenali sebagai Nur Shareefah Lusia Abdullah, 50.