
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin yang menjalankan tanggungjawab dengan baik termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke perlu dipertahankan.
Menurut Perdana Menteri, negara memerlukan pemimpin yang mempunyai visi dan prihatin terhadap masalah rakyat, termasuk golongan berpendapatan rendah serta pekerja bawahan yang menyumbang kepada pembangunan negara.
"Ini bukanlah saya nak puji sebab beliau (Loke) ada di sini. Pasal apa orang baik macam ini dia nak berhenti?
“Yang nak berhenti orang yang rasuahlah. Orang baik ini kita nak pertahan. Orang ini yang penting dalam negara kita," katanya, lapor media.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi dan Kereta Sewa (BKKT) di Putrajaya, hari ini.
Majlis penyerahan sulung bantuan itu melibatkan 500 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah Zon Tengah sebagai penerima simbolik, susulan pengumuman Anwar menerusi Bajet 2027 pada Jumaat lepas bahawa bantuan berkenaan akan disalurkan minggu ini sebagai langkah memulangkan hasil kutipan RM91.2 juta daripada penjualan nombor pendaftaran istimewa (NPI) siri H kepada rakyat.
Pada 19 September lalu, Loke mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman secara tahanan dalam rumah.
Loke berkata peletakan jawatan itu akan berkuatkuasa pada hari Najib memulakan tahanan rumah. Beliau menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada Anwar pada 28 September lalu.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pemimpin perlu memahami nasib rakyat, termasuk pesawah padi, pemandu teksi, petani dan nelayan, selain mengambil berat tentang keperluan persekolahan anak-anak, kebajikan mahasiswa serta kecukupan gaji penjawat awam berpendapatan rendah.
"Negara ini perlukan pimpinan yang betul-betul laksana (visi) yang dibawa. (Bukan) yang cakap banyak, cakap pandai, tetapi yang tahu, apa nasib pemandu teksi, apa nasib petani, apa nasib nelayan, bagaimana anak sekolah, beli buku, bagaimana mahasiswa cukup makan atau tidak?
"Ini semua kita (pemimpin) kena fikir, jadi kena buat perancangan macam-macam saudara-saudara, bukan kerja yang mudah," katanya. - 14 Oktober, 2026
The post ‘Orang baik kita pertahankan’ Anwar puji Anthony Loke appeared first on Scoop.






