
PUTRAJAYA – Kira-kira 53,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah dijangka menerima bantuan kewangan secara sekali beri sebanyak RM1,000 setiap orang sebelum sambutan Deepavali, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, proses pembayaran bantuan yang keseluruhan berjumlah RM53 juta itu dijangka diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga minggu, dengan penyaluran dibuat secara berperingkat menerusi serahan tangan dan pembayaran dalam talian.
“Namun, kita akan semak semula data pemandu yang layak bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Kita menyasarkan semua pemandu akan mendapat bantuan ini sebelum sambutan Deepavali,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sulung bantuan berkenaan melibatkan 500 pemandu Zon Tengah, sebagai penerima simbolik di sini hari ini.
Katanya, pemandu tidak perlu memohon bantuan itu kerana kelayakan penerima akan ditentukan berdasarkan pangkalan data APAD, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan bagi Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, satu-satunya kriteria ditetapkan adalah pemandu mesti memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah tempoh laku dan mereka boleh menghubungi persatuan masing-masing bagi membolehkan maklumat dikemas kini sekiranya tidak menerima bantuan tersebut.
Mengenai sumber pembiayaan untuk bantuan itu, beliau berkata, ia menggunakan sebahagian hasil kutipan RM91 juta daripada bidaan siri nombor pendaftaran istimewa ‘H’, dan bukannya peruntukan belanjawan akan datang.
Menurutnya, hasil berkenaan dikutip pada September lepas dan sebahagiannya disalurkan oleh Kementerian Kewangan bagi membiayai inisiatif tersebut, meskipun ia diumumkan menerusi Belanjawan 2027.
“Saya hendak membetulkan persepsi yang mengatakan (mempersoalkan) mengapa Belanjawan 2027 belum lulus, kita terus bayar?
“Semua hasil (untuk bantuan) ini telah pun berada dalam akaun hasil disatukan, dan Kementerian Kewangan menyalurkan sebahagiannya untuk tujuan inisiatif ini dan diumumkan pada Belanjawan hari Jumaat lepas…ia tidak memerlukan apa-apa kelulusan di peringkat Parlimen,” katanya. – Bernama
The post Pemandu teksi, kereta sewa, bas sekolah dapat RM1,000 sebelum Deepavali appeared first on Kosmo Online.






