
PUTRAJAYA: Kerajaan amat memerlukan pemimpin yang mempunyai visi dan prihatin terhadap masalah rakyat, termasuk golongan berpendapatan rendah dan pekerja bawahan yang turut menyumbang kepada pembangunan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biarpun tidak mampu menyelesaikan banyak masalah rakyat namun, pemimpin yang prihatin amat diperlukan bagi menjaga kebajikan rakyat.
Menurutnya, beliau secara peribadi memuji cadangan bantuan khas RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas yang dicetuskan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
“Ini bukanlah saya nak puji sebab Loke ada di sini. Betul orang macam dia fikir nak berhentilah, pasal apa orang baik macam ini nak berhenti? Yang nak berhenti orang yang rasuahlah berhenti, betul tak?
“Tetapi kita nak pilih Menteri ataupun pemimpin yang prihatin tentang nasib orang. Selesai semua masalah satu hari memang tak boleh, tetapi sekurang-kurangnya ada niat yang baik.
“Orang baik ini kita nak pertahankan, orang ini yang pimpin negara kita. Ya, jangan pedulilah orang cakap politik ini biar. Kerana negara ini perlukan pimpinan yang ada prinsip. Negara ini perlukan pimpinan yang prihatin terhadap masalah rakyat di bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas bagi zon tengah di sini hari ini.
Katanya, kerajaan sedaya upaya akan terus menjaga kebajikan semua rakyat dan bantuan khas ini dibuat hasil rundingan bagi mengurangkan kos sara hidup pemandu teksi.
Anwar berkata, beliau mengakui perang yang tercetus di Iran, Israel dan Amerika kini sudah merebak ke Arab Saudi dan menyebabkan harga minyak dunia melambung sekali gus membebankan kerajaan.
“Tapi saya yakin insya-Allah, kalau semangat kita begini, kita pilih orang-orang yang ada amanah. Yang jangan guna kuasa untuk curi duit. Jangan, jangan. Kita banyak sangat pengalaman pahit,” katanya. –UTUSAN
The post Kekalkan pemimpin yang prihatin nasib rakyat – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.





