Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan memberikan bimbingan dan penerangan khusus kepada pekerja Islam yang terlibat dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) di sebuah kuil di Jalan Dato Keramat, Georgetown baru-baru ini.
JHEAIPP dalam kenyataan memaklumkan, bimbingan itu bertujuan meningkatkan kefahaman pekerja berkenaan mengenai pemeliharaan akidah, batas penglibatan orang Islam di rumah ibadat bukan Islam serta pematuhan hukum syarak.

Selain itu, JHEAIPP turut bercadang mengadakan program advokasi yang melibatkan pihak pengurusan dan pekerja hotel pada 20 Oktober ini bagi meningkatkan kesedaran serta mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Menurut jabatan itu, pihaknya memandang serius isu penglibatan pekerja beragama Islam dalam aktiviti pembersihan di kuil berkenaan yang tular di media sosial pada 8 Oktober lalu.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, aktiviti tersebut melibatkan seramai 20 orang kakitangan hotel,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Susulan isu berkenaan, Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak pengurusan Citadines Connect Georgetown semalam bagi mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan program tersebut.
Sesi berkenaan turut memberi tumpuan kepada bentuk penglibatan pekerja Islam, arahan kerja serta aspek sensitiviti agama, dengan pihak hotel dilaporkan memberikan kerjasama yang baik sepanjang pertemuan itu.

Dalam pada itu, JHEAIPP memaklumkan bahawa berdasarkan pandangan hukum Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertarikh 12 Oktober lalu, penglibatan orang Islam dalam aktiviti pembersihan yang secara langsung menyelenggara ruang pemujaan dan kemudahan khusus bagi ibadat agama lain adalah haram.
“Ini termasuk pembersihan patung sembahan, altar dan peralatan ritual,” ujarnya.
JHEAIPP menegaskan pihaknya menyokong pelaksanaan aktiviti CSR yang memberi manfaat kepada masyarakat, namun penganjur perlu memastikan setiap aktiviti menghormati sensitiviti agama dan mematuhi batasan hukum syarak.
“Sebarang keraguan wajar dirujuk kepada pihak berautoriti agama,” katanya.
Jabatan itu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menjatuhkan hukum terhadap individu yang terlibat tanpa penelitian pihak berautoriti, demi memelihara kesucian agama Islam dan keharmonian masyarakat berbilang agama.
Sumber: Facebook JHEAIPP






