
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman video yang memaparkan sekumpulan individu termasuk beberapa Muslim membersihkan sebuah kuil di Georgetown, Pulau Pinang.
Video tersebut nyata mendapat perhatian ramai termasuklah Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman yang menasihatkan agar umat Islam mengelakkan daripada diri dari terlibat dengan aktiviti membersihkan rumah ibadat agama lain.
Apatah lagi jika aktiviti pembersihan itu melibatkan tempat atau peralatan yang digunakan khusus untuk ritual keagamaan.
JHEAIPP Siasat Isu Tular Pekerja Islam Bersihkan Kuil Di Pulau Pinang
Semalam (14 Oktober), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam satu kenyataan di Facebook menjelaskan pihaknya sedang menyiasat dan memandang serius isu penglibatan pekerja beragama Islam dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerja pembersihan di Kuil Sri Kamatchi Amman, Jalan Dato Keramat, Georgetown seperti yang tular baru-baru ini.
Jelas mereka, Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan satu perbincangan serta libat urus bersama pihak pengurusan Citadines Connect, Georgetown pada 14 Oktober lalu.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, aktiviti tersebut melibatkan seramai 20 orang kakitangan hotel dan isu berkenaan telah tular pada 8 Oktober 2026.
“Pada 14 Oktober, Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak pengurusan Citadines Connect, Georgetown bagi mendapatkan penjelasan tentang pelaksanaan program, bentuk penglibatan pekerja Islam, arahan kerja serta aspek sensitiviti agama.
“Pihak hotel telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang sesi tersebut,” tulis mereka.
JHEAIPP Akan Beri Bimbingan & Penerangan Khusus Kepada Pekerja Islam Yang Terlibat
Ekoran itu, JHEAIPP dalam kenyataan sama menjelaskan pihaknya akan memberi bimbingan dan penerangan secara khusus kepada pekerja Islam yang terlibat.
“Sebagai tindakan susulan, JHEAIPP akan memberi bimbingan dan penerangan secara khusus kepada pekerja Islam yang terbabit mengenai pemeliharaan akidah, batas pembabitan di rumah ibadat bukan Islam dan pematuhan hukum syarak.
“JHEAIPP juga bercadang mengadakan program advokasi kepada pihak pengurusan dan pekerja hotel pada 20 Oktober ini bagi meningkat kefahaman serta mencegah kejadian seumpama ini berulang,” tulis mereka.
JHEAIPP Sokong Program CSR Yang Memberi Manfaat Namun Ia Perlu Menghormati Sensitiviti Agama
Malah, JHEAIPP dalam kenyataan itu turut berkongsi pandangan dari Mohd Sukki pada 12 Oktober lalu mengenai larangan penglibatan umat Islam dalam aktiviti pembersihan secara langsung rumah ibadat agama lain.
“Menurut pandangan hukum Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui surat pada 12 Oktober 2026, penglibatan orang Islam dalam aktiviti pembersihan yang secara langsung menyelenggara ruang pemujaan dan kemudahan khusus bagi ibadat agama lain adalah haram, termasuk pembersihan patung sembahan, altar dan peralatan ritual.
“Pandangan ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah, ayat 2 yang bermaksud: ‘Dan hendaklah kamu saling membantu dalam kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu saling membantu dalam dosa dan pencerobohan’,” tulisnya.
Tambah JHEAIPP, pihaknya sentiasa menyokong program CSR yang membawa kebaikan kepada masyarakat.
Namun, aktiviti tersebut perlulah menghormati sensitiviti agama serta mematuhi batasan syarak.
“JHEAIPP menyokong pelaksanaan aktiviti CSR yang bermanfaat kepada masyarakat namun, penganjur hendaklah memastikan aktiviti itu menghormati sensitiviti agama dan mematuhi batasan hukum syarak manakala sebarang keraguan wajar dirujuk kepada pihak berautoriti agama.
“JHEAIPP akan meneruskan pendekatan pendidikan, advokasi, pemantauan dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menjatuhkan hukum terhadap individu tanpa penelitian pihak berautoriti, demi memelihara kesucian agama Islam dan keharmonian masyarakat berbilang agama,” kata mereka.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Video Orang Islam Terlibat Gotong-Royong Cuci Rumah Ibadat Agama Lain, Ini Respon Mufti Pulau Pinang
Baca Artikel Berkaitan: “Bila Pelajar Sanggup Hulur Tenaga Bersihkan Rumah Ibadat Penganut Lain, Bukan Ke Itu Pupuk Sikap Perpaduan?” – Presiden Mahima






