
KOTA BHARU – Penurunan harga emas serendah RM496 segram sejak minggu lalu, mendorong peminat dan pengumpul emas menyerbu premis menjual barangan kemas bagi membeli koleksi rekaan baharu.
Selain itu, kejatuhan harga tersebut turut memberi peluang kepada orang ramai untuk menukar barangan kemas lama kepada rekaan terkini dengan rata-rata premis menerima peningkatan pelanggan kira-kira 50 peratus berbanding sebelum ini.
Peluang membeli emas pada harga lebih rendah turut dimanfaatkan pelanggan yang mahu menambah koleksi barangan kemas masing-masing sebelum harganya dijangka meningkat menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Pekerja kedai emas di Pasar Besar Siti Khadijah, Syera Ismail, 26, berkata, kejatuhan harga emas kepada RM507 segram, iaitu penurunan hampir RM100 segram sejak minggu lalu menyebabkan lebih 10 pelanggan datang membeli emas baharu setiap hari.
Katanya, sebahagian pelanggan lagi mengambil kesempatan menukar barangan lama kepada rekaan terkini.
“Ketika ini, rantai tangan bercorak dinar antara paling laris dan mendapat sambutan di luar jangkaan. Ada pelanggan mengambil peluang membeli sekarang kerana bimbang harga emas naik semula dalam masa terdekat,” katanya kepada Kosmo!.
Syera memberitahu, penurunan ketara harga emas itu turut mendorong pelanggan dari Thailand untuk ke Kelantan bagi membeli barangan kemas baharu, selain menukar yang lama kepada rekaan lebih menarik.
“Apabila mengetahui harga emas di Kelantan turun, mereka datang beramai-ramai ke sini.
“Mereka juga memaklumkan emas Kelantan menjadi pilihan kerana menganggap kualitinya lebih baik berbanding emas di negara mereka,” katanya.
Seorang pelanggan, Awie Arshad, 58, berkata, di saat penurunan harga ini, dia mengambil peluang membeli rantai leher berharga RM13,800 untuk diberikan kepada ahli keluarganya.
“Bagi saya, tidak kira harga emas naik atau turun, kalau ada duit saya akan beli. Harga emas berubah-ubah, jadi, apabila ada peluang, saya akan membeli,” ujarnya.

Dalam pada itu di Kuala Terengganu, pekerja Kedai Emas dan Permata Batu Enam, Kamrul Mat Ali berkata, permintaan tinggi terhadap emas bukan sekadar bagi pembelian barangan kemas tetapi turut melibatkan jongkong emas.
“Ramai mula bertanya, berminat membeli jongkong emas untuk simpanan masa depan.
“Semalam (kelmarin) harganya serendah RM496 segram, namun hari ini (semalam) naik sedikit kepada RM502 segram tetapi ia jauh lebih murah berbanding nilainya pernah mencecah RM640 sebelum ini,” katanya di sini semalam.
Seorang pengusaha kedai emas, Mariam Hussain pula berkata, premis perniagaan yang agak lenggang sebelum ini juga kembali meriah dengan kehadiran pelanggan sejak hujung minggu lalu.
Dia yang memiliki Kedai Emas dan Permata di Pasar Besar Kedai Payang di sini berkata, pelanggan yang datang bukan hanya setempat tetapi termasuk Lembah Klang, Pahang dan Johor.
“Ramai berniat mahu menambah koleksi barangan kemas terbaharu apabila mengetahui harga emas kembali turun. Ini masa terbaik untuk membeli emas sebelum harganya boleh melonjak semula,” ujarnya.

Sementara itu, di Kuala Pilah, seorang peminat barangan kemas yang juga penjawat awam, Nadhirah Nazri, 32, berkata, dia tidak melepaskan peluang membeli barangan logam itu sebagai pelaburan dan simpanan masa depan.
Katanya, dia akan membandingkan harga emas di Kuala Pilah dan Nilai sebelum membuat pembelian bagi mendapatkan tawaran lebih murah, terutama apabila harga berubah-ubah sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, dia membeli gelang tangan seberat 6.6 gram pada Jumaat lalu di Kuala Pilah pada harga RM495 segram dengan jumlah bayaran kira-kira RM3,340 dan pembelian itu lebih menjimatkan berbanding kira-kira dua bulan lalu apabila emas dengan berat sama dibelinya mencecah RM4,000.
“Biasanya saya beli kecil-kecil sebagai simpanan masa depan. Saya akan tengok harga di beberapa tempat dahulu dan bergantung juga pada bajet, biasanya bawah RM2,000,” katanya.
Harga emas di Kuala Pilah semalam dijual sekitar RM500 hingga RM501 segram berbanding RM497 segram kelmarin.
The post Orang Thailand serbu kedai emas di Kelantan appeared first on Kosmo Online.






