amree06/08/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos – Oriental Kopi Holdings Berhad memeterai usaha sama (JV) dengan Erajaya Group untuk memasuki pasaran Indonesia, selain perjanjian francais bagi membawa jenama ke Mauritius.
Langkah itu dilihat membuka peluang pertumbuhan kepada pengendali rangkaian kafe tersebut ketika persaingan industri makanan dan minuman (F&B), selain perluasan di luar Malaysia dan Singapura.
Bagi Indonesia, anak syarikatnya, Oriental Coffee International Sdn Bhd menubuhkan sebuah syarikat JV, PT Era Oriental Kopi dengan subsidiari peruncitan Erajaya Group, PT Era Boga Nusantara (EBN).
"EBN memegang 60% ekuiti manakala Oriental Coffee International memiliki baki 40%, dengan kedua-dua pihak membangunkan serta mengendalikan rangkaian kafe Oriental Kopi di Indonesia," jelasnya.
Pengembangan awal tertumpu di kawasan Greater Jakarta, manakala cawangan pertama dijadual dibuka pada akhir 2026 di Central Park Mall, Jakarta Barat, antara pusat beli-belah utama di ibu kotanya.
Kerjasama itu menggabungkan kekuatan jenama serta kepakaran operasi kafe dengan rangkaian runcit dan pengalaman Erajaya dalam pasaran tempatan bagi mempercepatkan pertumbuhan jenama di Indonesia.

Selain operasi kafe, Oriental Kopi turut merancang memperkenalkan produk pengguna dijual pantas (FMCG) seperti kopi putih segera, kaya dan pelbagai produk makanan Malaysia ke negara tersebut.
"Sebagai rangkaian kafe memiliki pensijilan halal, syarikat JV ini mendapatkan pensijilan tempatan selain memastikan bahan mentah, proses penyediaan dan rantaian bekalan mematuhi keperluan.
Dalam perkembangan berasingan, Oriental Coffee International turut menandatangani Perjanjian Francais Wilayah (TFA) dengan Coffee Time Ltd bagi memberikan hak eksklusif di pasaran Mauritius.
Pengarah Urusan Oriental Kopi, Datuk Calvin Chan Jian Chern berkata, kemasukan ke Indonesia dan Mauritius merupakan langkah penting dalam memperkukuh kehadiran global syarikat berkenaan sendiri.
Di samping itu ujarnya, ia membolehkan jenama itu membawa cita rasa asli Malaysia kepada ramai pengguna antarabangsa dengan ketika ini, mengendalikan 31 kafe di Malaysia dan tiga di Singapura.
Pada masa sama, ia mengedarkan pelbagai produk makanan berbungkus termasuk kopi putih segera, kaya dan produk makanan tempatan melalui rangkaian pasar raya serta saluran jualan lain. - DagangNews.com


