hamden13/08/2026 - 18:18 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Ogos - Orkim Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Orkim Reliance Sdn Bhd, melanjutkan Kontrak Penyewaan Pelayaran Berturutan (CVC) dengan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd bagi tempoh enam bulan lagi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Orkim berkata lanjutan kontrak itu berkuat kuasa mulai 16 Ogos 2026 hingga 15 Februari 2027, susulan addendum yang dimeterai oleh Orkim Reliance dengan kedua-dua syarikat Shell pada 13 Ogos 2026.
“Kontrak CVC boleh dilanjutkan lagi bagi tiga tempoh berturutan selama enam bulan setiap satu, yang boleh dilaksanakan atas pilihan mutlak Penyewa, tertakluk kepada terma dan syarat kontrak CVC sedia ada,” katanya.
Menurut Orkim, kontrak tersebut pada asalnya dimeterai bagi tempoh satu tahun bermula 16 Ogos 2024 hingga 15 Ogos 2025, sebelum Shell melaksanakan pilihan lanjutan untuk tempoh setahun sehingga 15 Ogos 2026.
Tiada nilai kontrak tetap
Orkim berkata kontrak CVC berkenaan tidak mempunyai nilai tetap kerana nilai kontrak adalah berdasarkan sistem ‘cargo-nominations’.
Di bawah mekanisme tersebut, pencalonan kargo akan dikeluarkan mengikut budi bicara Shell berdasarkan jadual kadar yang ditetapkan dalam kontrak sepanjang tempoh penyewaan.
Walaupun tiada nilai kontrak yang ditetapkan, Orkim menjangkakan lanjutan tersebut memberi sumbangan positif kepada keuntungan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh kontrak.
Kumpulan berkata lanjutan kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan atau pegangan saham utama Orkim.
Dari segi risiko, kontrak berkenaan terdedah kepada risiko operasi dan pelaksanaan berkaitan penyediaan perkhidmatan pengangkutan marin.
Orkim Reliance akan memastikan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan dan operasi yang berkaitan sepanjang pelaksanaan kontrak. - DagangNews.com





