
MADRID: Real Madrid menutup rapat peluang Arsenal untuk mendapatkan Vinicius Junior selepas bintang Brazil itu menandatangani kontrak baharu selama enam tahun bersama gergasi Sepanyol berkenaan.
Pengumuman itu mengakhiri spekulasi berbulan-bulan mengenai masa depan pemain sayap berusia 26 tahun itu yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris (EPL).
Real turut menghantar amaran kepada pencabar mereka apabila melengkapkan perpindahan sensasi pemain muda Ivory Coast, Yan Diomande, dalam usaha mengembalikan kegemilangan kelab selepas dua musim tanpa trofi utama.
“Real Madrid dan Vinicius mencapai persetujuan untuk melanjutkan kontrak pemain kami sehingga 30 Jun 2032,” kata kelab itu menerusi satu kenyataan rasmi.
Kontrak baharu itu memberi kelegaan besar kepada pengurusan Real dan pengendali baharu mereka, Jose Mourinho yang mahu membina semula sebuah pasukan mampu mendominasi Sepanyol serta Eropah.
Terdahulu, kontrak Vinicius hanya berbaki setahun dan keadaan itu mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk minat serius daripada Arsenal yang dikatakan bersedia menjadikannya pemain termahal dalam sejarah kelab.
Bagaimanapun, keputusan pemain Brazil itu untuk terus kekal di Santiago Bernabeu dilihat sebagai bukti keyakinannya terhadap projek baharu yang sedang dibangunkan Mourinho.
Sejak menyertai Real ketika berusia 18 tahun, Vinicius berkembang menjadi antara pemain paling berpengaruh dalam skuad Los Blancos.
Sepanjang lapan tahun di Bernabeu, dia telah menjaringkan 128 gol dalam 375 penampilan selain memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab memenangi pelbagai trofi utama.
Antara pencapaian terbesar Vinicius ialah membantu Real merangkul dua gelaran Liga Juara-Juara Eropah dan tiga kejuaraan La Liga, bagi mengukuhkan statusnya sebagai salah seorang pemain terbaik dunia.
Namun, kegagalan memenangi sebarang trofi utama dalam tempoh dua musim terakhir menyaksikan Real melakukan rombakan besar-besaran bagi memastikan mereka kembali bersaing di pentas tertinggi.-AGENSI
KAPSYEN: Vinicius Junior
The post Vinicius kekal bersama Real hingga 2032 appeared first on Utusan Malaysia.






