hamden06/08/2026 - 18:16 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos - AWC Berhad (AWC) menerusi anak syarikat milik penuhnya Qudotech Sdn Bhd (Qudotech), memperoleh kontrak bernilai RM23.1 juta bagi kerja-kerja paip, tangki silo dan sanitari dalaman untuk sebuah projek pusat data.
AWC dalam kenyataan berkata, Qudotech telah menerima Surat Setuju Terima (LOA) daripada sebuah kontraktor usaha sama pada 6 Ogos 2026 bagi melaksanakan dan menyiapkan kerja-kerja subkontrak berkenaan.
Kontrak tersebut dijangka siap pada Jun 2027 dan dijangka memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 (FY27) sehingga tempoh penyempurnaan kerja.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan/Presiden AWC Berhad, Datuk Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor berkata, kontrak berkenaan mencerminkan keyakinan rakan kongsi terhadap keupayaan kumpulan dalam melaksanakan kerja-kerja khusus bagi projek pusat data yang memerlukan tahap ketepatan teknikal dan pematuhan jadual yang tinggi.
“Pasukan kami bersedia untuk memenuhi keperluan tersebut dan kami kekal komited dalam mengekalkan piawaian penyampaian tertinggi,” katanya.
Beliau berkata, kontrak terbaharu itu merupakan kemenangan kontrak pusat data ketiga yang diperoleh Bahagian Kejuruteraan AWC dalam tempoh 12 bulan lalu, sekali gus menjadi permulaan kukuh bagi FY27.
Pusat Data Jana Peluang Baharu
Menurut beliau, pencapaian itu menunjukkan penglibatan AWC dalam sektor pusat data telah berkembang daripada peluang baharu kepada aliran kerja yang lebih konsisten dan berkembang.
“Dengan permintaan terhadap infrastruktur pusat data yang terus meningkat, kami semakin diiktiraf sebagai rakan kongsi dipercayai bagi projek kompleks dan kritikal misi.
“Kami akan memanfaatkan momentum ini untuk membina kehadiran yang lebih kukuh dan mampan dalam sektor ini,” katanya.
AWC berkata tumpuan kumpulan kini adalah terhadap pelaksanaan buku tempahan yang kukuh berjumlah RM865 juta setakat akhir Mac 2026, tidak termasuk kontrak terbaharu tersebut.
Kumpulan itu menjelaskan kontrak yang diperoleh sepanjang FY26 telah mula menyumbang secara positif, seperti yang dicerminkan dalam keputusan suku ketiga FY26, dan dijangka memberi sumbangan lebih besar apabila pelaksanaan projek terus berkembang. - DagangNews.com






