Ornapaper beli 2 lot tanah pajakan RM7.2 juta di Melaka Tengah bagi dijadikan asrama pekerja

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2025 • 6:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ornapaper beli 2 lot tanah pajakan RM7.2 juta di Melaka Tengah bagi dijadikan asrama pekerja

image is not available

02/10/2025 - 18:23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Okt - Ornapaper Berhad menerusi Ornapaper Industry (M) Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) bagi memperoleh dua lot tanah pajakan seluas 1,882 meter persegi berharga RM7.2 juta di Melaka Tengah daripada Fairway Review Sdn Bhd (FRSB).

Kumpulan itu berkata, tanah pajakan yang tamat pada 17 Oktober 2123 itu kini sedang dibangunkan sebuah bangunan asrama pekerja empat tingkat beserta sebuah rumah pengawal.

"Pembelian ini bertujuan untuk digunakan sebagai asrama bagi menempatkan pekerja asing kumpulan itu dan menyokong operasinya," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Menurut Ornapaper, harga pembelian ditentukan secara “willing-buyer willing-seller” selepas mengambil kira kedudukan strategik tanah berkenaan serta penilaian pasaran sebanyak RM7.2 juta yang dibuat oleh CBRE WTW Valuation & Advisory Sdn Bhd pada 26 Ogos 2025.

Pembelian itu akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.

Tertakluk kepada sebarang keadaan yang tidak dijangka, Lembaga Pengarah Ornapaper menjangkakan pembelian itu akan disempurnakan menjelang suku ketiga tahun 2026.

Setelah meneliti semua aspek cadangan pemerolehan, Lembaga Pengarah Ornapaper (kecuali Pengarah Berkepentingan), berpendapat ia adalah adil dan munasabah serta demi kepentingan terbaik syarikat.- DagangNews.com

standard