Pembelian tanah di Rawang berpotensi jana pendapatan tahunan RM31 juta kepada OSK - HLIB

04/09/2025 - 10:30
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 4 Sept - Pembelian tiga lot tanah di Rawang oleh OSK Holdings Berhad berpotensi besar menjana pendapatan tambahan tahunan sebanyak RM31 juta antara tahun kewangan 2027 (FY27) hingga FY33, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Katanya, unjuran itu adalah berdasarkan tempoh pembangunan selama tujuh tahun dan margin keuntungan sebanyak 20%
Firma penyelidikan itu berkata, sumbangan tersebut mewakili kira-kira 4.4% daripada unjuran pendapatannya bagi FY27.
"Harga pengambilalihan itu menunjukkan nisbah kos tanah kepada nilai pembangunan kasar (GDV) hanya 4.6%, yang dianggap sangat menarik memandangkan status pegangan bebas tanah tersebut, lokasi strategik di kawasan kejiranan matang dalam koridor pertumbuhan bandar Selangor.
"Kos tanah yang agak rendah bukan sahaja memberi ruang kepada margin pembangunan yang sihat, malah menyediakan penampan kukuh bagi OSK untuk menyerap sebarang ketidakstabilan kos pembinaan tanpa menjejaskan daya maju projek secara ketara," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, OSK memperoleh tiga lot tanah di Bandar Country Homes dan Bandar Kundang, Rawang dengan jumlah pertimbangan tunai RM58 juta.
Transaksi yang dimeterai pada 2 September 2025 itu melibatkan pembelian tanah pegangan bebas daripada Temasya Mentari Sdn Bhd.
Lot-lot tersebut, dengan keluasan melebihi 58,000 meter persegi (lebih 630,000 kaki persegi), akan diserahkan dengan milikan kosong dan bebas daripada sebarang bebanan.
HLIB berkata, setakat 30 Jun 2025, baki bank tanah OSK adalah berjumlah 1,002 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM18.5 bilion.
Katanya, pengambilalihan terbaharu itu, jumlah bank tanah akan meningkat kepada 1,008 hektar, sekali gus melonjakkan keseluruhan GDV kepada RM19.8 bilion.
“Penambahan ini bukan sahaja mengukuhkan saluran projek OSK, malah meningkatkan kedudukan strategiknya dengan memberi kumpulan itu tapak kukuh di koridor pertumbuhan utara Lembah Klang, melengkapi kepelbagaian bank tanah sedia ada di kawasan lain,” kata firma penyelidikan itu.
HLIB turut mengekalkan saranan "beli" terhadap pemaju tersebut, dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.13 sesaham. - DagangNews.com
standard

