Ozlynn Waty anggap tanggungjawab sebagai ibu & isteri satu ibadah, penat tapi penuh berkat

Family & ParentingLifestyle
14 Mar 2026 • 5:26 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

MUNGKIN bagi segelintir netizen beranggapan, rutin harian selebriti nampak mudah kerana adanya bantuan pembantu rumah.

Berbeza pula dengan pendirian pelakon, Ozlynn Waty.

Wanita berusia 45 tahun itu menganggap tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tetap memerlukan komitmen dan pengorbanan yang besar. Baginya, setiap keletihan harian adalah ibadah yang paling mulia di sisi ALLAH SWT.

Ozlynn atau nama sebenar Rozlinawaty Ismail berkongsi pengalaman tersebut di Threads, sekali gus menepis persepsi kononnya hidup selebriti hanyalah kemewahan tanpa cabaran.

image is not available

“Saya mengambil pembantu rumah bukan untuk melepaskan tanggungjawab kepada anak, tetapi kerana tidak mahu menghantar mereka kepada pengasuh.

"Saya lakukan kerja rumah sendiri, memasak, mengemas, membasuh baju, mencuci tandas, berniaga, dan pergi penggambaran,” dedahnya.

Bahkan rutinnya padat sehingga waktu tidur menjadi sesuatu yang mewah.

“Saya balik pukul 2 pagi dan bangun pukul 4 pagi untuk masakkan bekal anak ke sekolah.

"Tidur tidak pernah cukup, tetapi saya percaya penat ini akan diganti dengan ganjaran paling mulia di sisi ALLAH, jadi saya gantikan dengan istighfar,” ungkap Ozlynn lagi.

Isteri kepada pelawak dan penyampai radio, Johan, itu turut bersyukur kerana dikurniakan suami yang memahami.

image is not available

Johan tidak berkira jika Ozlynn tertidur akibat kepenatan.

“Yang penting, anak-anak terjaga dan kami urus sama-sama. Dari awal perkahwinan, saya ajar suami semua perkara, bagaimana bapa saya menjaga emak saya dahulu.

"Kini, suami sudah belajar dan turut membantu,” ujarnya.

Lebih mengharukan, ibu kepada enam cahaya mata berkenaan berkongsi kepuasan melihat anak-anak membesar di depan matanya.

“Saya seronok dan puas apabila dapat lakukan semuanya sendiri. Penat badan, penat otak, tapi tetap gembira melihat semua anak ada di depan mata. Bahkan, Papa dia pun saya suapkan makanan.

"Paling membahagiakan apabila lelah kita dibalas dengan doa dari anak-anak dan suami,” ujarnya dengan penuh rasa syukur.

image is not available

Bagi Ozlynn, pengorbanan harian bukan sekadar rutin, tetapi cara membina kasih sayang keluarga sambil menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.

Penat itu nyata, tapi setiap senyuman dan doa anak-anak adalah ganjaran yang tiada bandingnya.