
GEORGE TOWN: Pulau Pinang memperkenalkan satu lagi perkhidmatan bas percuma, Cat Bridge yang akan menghubungkan Bukit Mertajam di bahagian seberang dan Komtar, di sini bermula 1 Jan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari berkata ia sebagai usaha mengoptimumkan jaringan sistem pengangkutan awam di negeri itu khususnya dalam mengintegrasi kawasan pulau dengan seberang serta sebaliknya.
“Perkhidmatan Cat Bridge Bukit Mertajam (CT14) merangkumi laluan sejauh 26 kilometer, akan bermula dari Summit Bukit Mertajam melalui Bandar Perda dan Jambatan Pulau Pinang terus menghala ke Terminal Bas Komtar.
“Laluan itu akan mula beroperasi pada 1 Jan ini sebagai percubaan selama enam bulan dan sebanyak lima bas digunakan bagi pengoperasian laluan baharu tersebut,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya perjalanan ke destinasi akhir dijangka mengambil masa 60 hingga 85 minit dan penumpang boleh mengenal pasti laluan itu menerusi badan bas berwarna merah iaitu Bukit Mertajam Bas Merah ke Komtar. - Bernama

