hamden18/11/2026 - 14:34 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan memecahkan monopoli pembekalan kenderaan kerajaan oleh satu syarikat konsesi dengan membuka peluang kepada syarikat lain mengikut kategori kenderaan.
Cadangan itu membabitkan pembekalan van, bas, kenderaan pacuan empat roda (4WD), ambulans dan motosikal bagi mewujudkan persaingan lebih terbuka serta meningkatkan kecekapan pengurusan kenderaan kerajaan.
PAC berpandangan pendekatan berkenaan boleh menjadi langkah penambahbaikan terhadap sistem konsesi sedia ada, selain memberi ruang kepada lebih banyak syarikat menyertai pasaran pembekalan kenderaan kerajaan.
Cadangan itu dikemukakan sebagai antara tiga syor tambahan PAC dalam Penyata Tindakan Susulan berhubung Pengurusan Kenderaan Kerajaan di bawah Perjanjian Konsesi yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam kenyataan media, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, jawatankuasa itu turut mencadangkan supaya konsesi pembekalan kenderaan diperluas kepada sektor kritikal dan penggunaan lasak seperti ambulans.
Langkah itu bertujuan memastikan ketersediaan serta penggantian pantas kenderaan kritikal sekiranya berlaku kerosakan atau kemalangan.
Selain itu, PAC mencadangkan kerajaan meneroka penggunaan kenderaan elektrik (EV) bagi kenderaan rasmi kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Inisiatif itu juga berpotensi memacu pembangunan industri teknologi hijau negara dan menarik pelaburan asing dalam bidang berkenaan, sekali gus menyokong sasaran Malaysia mencapai neutral karbon menjelang 2050.
Perjanjian Tambahan dengan SPANCO perlu dimukamadkan
Mengulas tindakan susulan Kementerian Kewangan (MOF) terhadap lima syor utama PAC sebelum ini, jawatankuasa itu secara keseluruhannya berpuas hati dengan langkah yang telah diambil.
Bagaimanapun, PAC menggesa kerajaan memuktamadkan dan menguatkuasakan Perjanjian Tambahan dengan SPANCO Sdn Bhd bagi mengurangkan kos pajakan kenderaan serta perbelanjaan penyelenggaraan berlebihan akibat penggunaan kenderaan melebihi tempoh pajakan.
PAC turut menekankan kepentingan latihan dan kursus berterusan kepada pegawai yang mengendalikan kenderaan di kementerian serta jabatan bagi memastikan pengurusan kenderaan konsesi lebih cekap dan teratur.
Dalam pada itu, pelaksanaan sistem dalam talian bagi mengurus dan memantau kenderaan konsesi disambut baik, namun aspek keselamatan serta integriti data perlu diberikan keutamaan.
Kerajaan juga perlu memastikan sistem berkenaan boleh dicapai dan berfungsi sepenuhnya di kawasan luar bandar serta pedalaman, termasuk di Sabah dan Sarawak, bagi mengelakkan kelompangan perkhidmatan kenderaan kerajaan.
Penyata tindakan susulan itu dibuat susulan siasatan PAC terhadap pengurusan kenderaan kerajaan di bawah Perjanjian Konsesi 2 selama 15 tahun antara MOF dengan SPANCO, susulan penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025.
Siasatan terdahulu mendapati kelemahan pengurusan kontrak dan amalan tadbir urus menyebabkan kelewatan penggantian kenderaan yang tamat tempoh pajakan, sekali gus mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian akibat kos lebihan pajakan dan penyelenggaraan.
Selain itu, denda kelewatan pembekalan kenderaan juga didapati lambat dikenakan dan dituntut.
PAC menegaskan pihaknya akan terus memantau pelaksanaan tindakan kerajaan bagi memastikan pengurusan dana awam mematuhi prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan nilai faedah terbaik untuk wang rakyat. - DagangNews.com





