PAC jejak punca projek Pan Borneo Sabah lewat, bakal panggil pegawai lama

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 11:48 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PAC jejak punca projek Pan Borneo Sabah lewat, bakal panggil pegawai lama Image from: PAC jejak punca projek Pan Borneo Sabah lewat, bakal panggil pegawai lama sarah19/11/2026 - 11:48 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan memanggil pegawai yang pernah terlibat dalam pengurusan dan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 sejak peringkat awal perancangannya bagi mengenal pasti punca kelewatan projek berkenaan.

 

Pengerusinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, siasatan itu akan turut membabitkan pegawai yang tidak lagi berkhidmat dalam pengurusan projek, susulan penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026 mengenai pelaksanaan projek infrastruktur tersebut.

 

Menurut beliau, PAC telah mengadakan perbincangan selama satu jam setengah bersama lima Ahli Parlimen Sabah pada 18 November bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai keadaan projek, khususnya di kawasan yang mencatatkan kemajuan pembinaan paling kritikal.

 

 

 

 

 

 

 

Kelewatan projek ancam keselamatan pengguna

Mas Ermieyati berkata, lima Ahli Parlimen berkenaan dipilih berdasarkan kawasan Parlimen yang mempunyai pakej pembinaan berstatus projek sakit dan lewat, sekali gus membolehkan PAC mendapatkan maklumat secara langsung mengenai masalah di tapak pembinaan.

 

Mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal; Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau; Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching; dan Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.

 

Menurut PAC, perbincangan itu turut mendedahkan masalah harian yang dihadapi penduduk serta risiko keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya akibat kelewatan projek yang berpanjangan.

 

PAC Sabah pertama kali sertai prosiding

Dalam perkembangan penting, PAC Parlimen buat julung kalinya menjemput PAC Negeri Sabah untuk menyertai prosiding siasatan projek Pan Borneo Sabah Fasa 1, selain mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meneliti sebarang kemungkinan salah laku.

 

Mas Ermieyati menegaskan bahawa PAC tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran tatacara kewangan atau unsur salah guna kuasa serta akan merujuk sebarang penemuan salah laku kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

 

 

 

 

“PAC tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran tatacara kewangan mahupun unsur salah guna kuasa, dan tidak akan membiarkan mana-mana pihak yang bertanggungjawab terlepas daripada dipertanggungjawabkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Prosiding pertama siasatan dijadualkan berlangsung pada 25 November 2026 dengan memanggil saksi utama daripada Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah bagi memberikan keterangan mengenai pengurusan serta pelaksanaan projek tersebut.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved