Gamuda berpotensi peroleh kontrak tambahan RM6.5 bilion di Taiwan - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 9:09 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gamuda berpotensi peroleh kontrak tambahan RM6.5 bilion di Taiwan - Penganalisis Image from: Gamuda berpotensi peroleh kontrak tambahan RM6.5 bilion di Taiwan - Penganalisis sarah17/11/2026 - 09:09 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov - Gamuda Bhd masih mempunyai peluang projek tambahan bernilai kira-kira RM6.5 bilion di Taiwan selepas memperoleh kontrak pembinaan transit aliran massa (MRT) Keelung bernilai RM2.61 bilion, sekali gus meningkatkan buku tempahan kumpulan itu ke paras tertinggi RM66 bilion.

 

Menurut BIMB Securities Research (BIMB Securities) dan MBSB Research, kontrak terbaharu itu tidak termasuk dalam baki peluang projek RM6.5 bilion yang melibatkan pembinaan depoh penyelenggaraan Xizhi–Donghu serta sistem dan kerja landasan Laluan Minsheng, sekali gus membuka ruang kepada Gamuda untuk terus mengembangkan operasinya di Taiwan.

 

BIMB Securities berkata, kontrak MRT Keelung yang diperoleh menerusi usaha sama Gamuda-Feng Shun itu melibatkan pembinaan laluan sepanjang 2.4 kilometer (km), termasuk dua stesen bawah tanah antara Nangang di Taipei dan Xizhi di New Taipei, dengan bahagian kontrak Gamuda bernilai kira-kira RM2.09 bilion berdasarkan pegangan 80%.

 

Sementara itu, MBSB Research berkata, Gamuda kini mempunyai gabungan nilai kontrak sekitar RM4.80 bilion daripada dua projek MRT Keelung, termasuk kontrak terdahulu bagi sistem dan kerja landasan yang diperoleh bersama MiTAC.

 

Buku tempahan dijangka kekal melebihi RM60 bilion

MBSB Research menjangkakan buku tempahan Gamuda kekal melebihi RM60 bilion menjelang akhir 2026, meskipun mengambil kira pelaksanaan kerja projek bernilai antara RM4 bilion hingga RM5 bilion setiap suku tahun, tanpa mengambil kira sebarang kontrak baharu.

 

Firma itu berkata, Gamuda telah memperoleh kontrak baharu kira-kira RM17.1 bilion dalam tempoh tiga setengah bulan pertama tahun kewangan 2027 (FY27), bersamaan 49% hingga 57% daripada sasaran pengurusan sebanyak RM30 bilion hingga RM35 bilion bagi keseluruhan tahun kewangan tersebut.

 

BIMB Securities pula menganggarkan kontrak baharu FY27 mencecah RM17.3 bilion, dengan sektor rel menyumbang 39%, diikuti pusat data (33%), tenaga boleh diperbaharui (23%) dan pembinaan jalan raya (5%), sekali gus menunjukkan kepelbagaian sumber pertumbuhan kumpulan.

 

Keuntungan pembinaan dijangka meningkat 60%

MBSB Research berkata, pengurusan Gamuda menjangkakan hasil dan keuntungan sebelum cukai segmen pembinaan meningkat sekitar 60% pada FY27, dengan 90% daripada hasil yang disasarkan sudah disokong oleh kontrak sedia ada, manakala jualan hartanah dijangka meningkat lebih dua kali ganda kepada RM7 bilion.

 

Bagi kontrak MRT Keelung terbaharu, BIMB Securities menganggarkan potensi keuntungan sebelum cukai terkumpul kira-kira RM167 juta berdasarkan margin 8% sepanjang tempoh pelaksanaan 7.4 tahun, dengan struktur kontrak berasaskan kos campur margin keuntungan membantu mengurangkan risiko kenaikan kos pembinaan.

 

Kedua-dua firma penyelidikan mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Gamuda, dengan BIMB Securities menetapkan harga sasaran RM5.91 sesaham, menawarkan potensi kenaikan 29.3%, manakala MBSB Research menetapkan harga sasaran RM5.60, dengan potensi kenaikan harga 22.5% berbanding harga rujukan RM4.57.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved