Padah caj RM30 tukar bateri kalkulator, peniaga dikenakan notis KPDN

LocalSales & Promo
22 Apr 2026 • 12:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Padah caj RM30 tukar bateri kalkulator, peniaga dikenakan notis KPDN
Tindakan sebuah premis mengenakan caj RM30 bagi membaiki kalkulator yang dimasuki air mengundang padah apabila peniaga berkenaan dikenakan notis oleh KPDN Kelantan selepas kes itu tular di media sosial. Foto:KPDN

KOTA BHARU – Tindakan sebuah premis mengenakan caj RM30 bagi membaiki kalkulator yang dimasuki air mengundang padah apabila peniaga berkenaan dikenakan notis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan selepas kes itu tular di media sosial.

Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, siasatan segera telah dijalankan sebaik pihaknya menerima aduan rasmi berhubung caj yang disifatkan tidak munasabah itu.

Menurut beliau, tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dengan mengeluarkan notis pengesahan maklumat barangan atau perkhidmatan kepada peniaga terbabit.

“Peniaga berkenaan dikehendaki mengemukakan maklumat lengkap berkaitan harga perkhidmatan tersebut dalam tempoh empat hari bekerja bagi tujuan siasatan lanjut.

“Kita mahu meneliti sama ada wujud unsur pencatutan atau sebarang pelanggaran peraturan yang boleh menjejaskan pengguna,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Aswadi memberitahu bahawa KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas pengguna melalui penetapan harga tidak munasabah.

Ujarnya, pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan hak pengguna sentiasa terpelihara.

“Sebarang cubaan manipulasi pengguna akan diambil tindakan tegas demi melindungi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang salah laku peniaga atau aktiviti manipulasi harga di kawasan masing-masing.

Tambahnya, aduan boleh dibuat menerusi WhatsApp di talian 019-848 8000 atau talian hotline 24 jam di 09-741 6000 serta 03-8882 6088 / 6245.

Terdahulu, isu caj RM30 untuk membaiki kalkulator yang rosak akibat dimasuki air menjadi perhatian ramai selepas resit bayaran berkenaan tersebar di media sosial.

Rata-rata netizen mempersoalkan kadar caj tersebut dan menyifatkannya tidak setimpal dengan kos pembaikan, malah ada yang menganggap harga berkenaan lebih mahal daripada nilai kalkulator baharu.

View Original Article