Padah Dakwa Rosmah Amal Ilmu Hitam, TikToker Diperintah Bayar Ganti Rugi RM100,000

Entertainment
8 Jul 2025 • 12:24 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan seorang pemilik akaun TikTok membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kenyataan fitnah yang mendakwa isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu mengamalkan ilmu hitam dan bomoh, dua tahun lalu.

Terdahulu, Rosmah menyaman Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, bagi menuntut ganti rugi RM1 juta kerana memfitnah beliau dalam rakaman video berkenaan yang disiarkan pada 22 Mac 2023.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan jumlah tersebut meliputi ganti rugi am dan ganti rugi teruk dalam prosiding taksiran ganti rugi.

image is not available

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan ganti rugi teladan diberikan kepada Rosmah kerana plaintif gagal mengemukakan keterangan kukuh bagi menyokong dakwaannya.

Rosmah yang memfailkan saman itu pada 19 September 2023, mendakwa Ku Muhammad Hilmie memuat naik satu rakaman video di akaun TikTok milik defendan, yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar terhadap plaintif.

Rosmah mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau melakukan perbuatan berdosa, dikaitkan dengan aktiviti membabitkan syaitan, bomoh serta seorang individu yang jahat dan mengamalkan perbuatan syirik.

Dakwanya, kenyataan fitnah tersebut telah memusnahkan kredibiliti, nama baik dan reputasinya.

Beliau memohon, ganti rugi itu mengambil kira status, latar belakang, pencapaiannya selain mempertimbang reputasi sebagai figura yang dikenali serta penaung kepada beberapa badan amal di negara ini telah tercalar.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.