Paderi Maut Dihempap Salib Ketika Misa Sedang Berlangsung, Detik Tragis Dirakam Secara Langsung

20 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Paderi Maut Dihempap Salib Ketika Misa Sedang Berlangsung, Detik Tragis Dirakam Secara Langsung

Seorang paderi di Ecuador maut selepas dihempap sebuah salib besar ketika sedang memimpin upacara misa di Gereja Our Lady of Perpetual Help, Guayaquil, pada 17 Oktober lalu.

Insiden tragis itu melibatkan Paderi Redemptoris, Patricio Alfredo Sánchez Molinari, 53, yang ketika itu berdiri di belakang altar sebelum salib berkenaan tiba tiba tumbang ke hadapan lalu menghempap kepalanya.

Menurut laporan media, paderi itu rebah di belakang altar selepas terkena salib berkenaan.

Laungan “Padre!” yang bermaksud bapa atau paderi dalam bahasa Sepanyol kedengaran daripada jemaah yang berada di dalam gereja sebelum beberapa individu bergegas memberikan bantuan.

Punca salib besar itu tumbang ketika upacara berkenaan berlangsung masih belum diketahui.

Kejadian tersebut dirakam menerusi siaran langsung misa berkenaan dan rakamannya kemudian tersebar luas di media sosial serta mendapat perhatian masyarakat di seluruh dunia.

Bagaimanapun, pihak gereja difahamkan telah menurunkan video asal yang mengandungi kandungan sensitif.

Keuskupan Agung Guayaquil mengesahkan kematian Paderi Sánchez menerusi satu kenyataan ringkas yang dimuat naik di Facebook pada 17 Oktober.

Paroki San Lorenzo de Vinces, tempat beliau pernah berkhidmat sebagai paderi sebelum ini, turut menyampaikan ucapan takziah dan mengajak masyarakat mendoakan kesejahteraan rohnya.

“Kami sebagai keluarga Redemptoris bersama sama mendoakan agar rohnya mendapat ketenangan abadi dan memohon Tuhan memberikan kekuatan kepada keluarganya, rakan paderi serta semua umat yang mengenang jasa dan legasinya dengan penuh kesyukuran,” menurut kenyataan tersebut.

Pesanan Terakhir Sebelum Tragedi

Pada 18 Oktober, satu misa khas bagi memperingati kehidupan Paderi Sánchez diadakan di Gereja Our Lady of Perpetual Help.

Apa yang menyentuh perhatian, dalam khutbah terakhirnya beberapa minit sebelum kejadian, beliau mengingatkan jemaah supaya meletakkan Tuhan sebagai keutamaan dalam kehidupan dan menggunakan masa dengan sebaiknya.

Menurut transkrip yang diterbitkan akhbar Ecuador, El Universo, Paderi Sánchez berkata manusia kadangkala gagal memberikan masa dan ruang yang sewajarnya kepada Tuhan.

“Tuhan harus diutamakan, sebelum wang, sebelum pekerjaan dan sebelum aktiviti keluarga serta rumah tangga,” katanya.

Baca juga:

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap manusia akan meninggal dunia suatu hari nanti dan masa yang diluangkan untuk perkara tertentu mungkin tidak membawa makna sebesar masa yang diberikan kepada Tuhan serta insan tersayang.

“Masa berkualiti yang kita luangkan bersama Tuhan, saudara saudari, pasangan, anak anak dan keluarga ialah masa yang digunakan dengan sebaik baiknya,” katanya.

Pesanan itu menjadi antara kata kata terakhir beliau sebelum tragedi berkenaan meragut nyawanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved