Pagi ini yang sampai baju dadi berlumuran darah – Isteri

16 Oct 2026 • 11:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pagi ini yang sampai baju dadi berlumuran darah – Isteri

PETALING JAYA – “Pukul 1 pagi mesti dadi (suami) dah sampai rumah, tapi pagi ini yang sampai baju dadi yang berlumuran darah.”

Demikian luahan seorang wanita yang tidak dapat menahan kesedihan apabila menerima khabar suaminya cedera dalam kemalangan membabitkan kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan dua treler di susur keluar Senawang, di sini malam tadi.

Menerusi hantaran di Threads menggunakan akaun @ayumeyz, wanita itu meluahkan rasa terkejut dengan perkhabaran insiden terbabit, apatah lagi apabila mengetahui rakan sekerja suaminya meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

“Allahuakbar, sumpah aku tak kuat,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, wanita itu membayangkan trauma yang mungkin dialami suaminya apabila menyaksikan sahabatnya meninggal dunia di sebelah dalam nahas berkenaan.

“Allahuakbar, dugaan apa ini ya Allah. Mesti dadi (suami) trauma sahabat dadi meninggal betul-betul sebelah dadi kan. Tak terbayang kalau dadi ada dalam kereta masa itu.

“Alhamdulillah Allah masih lindungi dadi lagi,” katanya.

Wanita itu turut memohon orang ramai menyedekahkan al-Fatihah buat sahabat suaminya yang dikenali sebagai Abang Azrul atau Scoby, selain mendoakan agar suaminya segera sembuh.

“Sedekah al-Fatihah buat sahabat suami saya dan doakan semoga suami saya cepat sembuh,” katanya.

Suaminya merupakan antara mangsa yang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu, dengan wanita berkenaan memaklumkan lelaki tersebut mengalami patah kaki.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang anggota JPJ maut manakala empat lagi mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jabatan itu dan dua treler di Lebu Raya Utara-Selatan arah selatan, berhampiran susur keluar Senawang, Negeri Sembilan malam tadi.

Komander Operasi Kanan Zon Port Dickson, Penguasa Bomba Ahmad Shukri Hashim dilapor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.55 malam.

Menurutnya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dikejarkan ke lokasi dan tiba pada pukul 11.19 malam sebelum operasi menyelamat dimulakan dua minit kemudian.

Ahmad Shukri berkata, seorang anggota JPJ yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika anggota JPJ berkenaan menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori di lorong kecemasan sebelum sebuah lagi treler dari arah belakang dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kenderaan JPJ dan treler terbabit.

Bagaimanapun, sehingga kini pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai kejadian. – KOSMO! ONLINE

The post Pagi ini yang sampai baju dadi berlumuran darah – Isteri appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved