
KUALA LUMPUR – Sebuah Perodua Axia yang dipercayai keluar secara tiba-tiba dari susur jalan sebelah kiri menjadi punca sebuah Perodua Myvi terbalik dalam kemalangan di Jalan Kuching menghala ke Selayang, pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi itu melibatkan dua kenderaan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati Myvi yang dipandu lelaki berusia 42 tahun sedang bergerak lurus di lorong kiri sebelum dipercayai dilanggar Axia dipandu lelaki berusia 84 tahun.
“Akibat pelanggaran tersebut, pemandu Myvi hilang kawalan sehingga menyebabkan kenderaan berkenaan terbalik di lorong tengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemalangan berkenaan hanya melibatkan kerosakan kenderaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebuah Perodua Myvi berwarna kuning mencuri perhatian pengguna media sosial selepas dilihat terbalik di tengah jalan di Jalan Kuching menghala ke Selayang, pagi tadi.
Seorang individu di Threads, @brotherlybig, yang mendakwa dirinya pemandu Myvi terbabit turut tampil menjelaskan bahawa kemalangan itu bukan berpunca daripadanya.
“Saya pemandu Myvi tu. Bukan salah saya. Tak perlulah nak komen ‘King buat hal ke apa’. Dah hon dah…tapi dia keluar juga,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Axia keluar tiba-tiba punca Myvi terbalik di Jalan Kuching appeared first on Kosmo Online.




![[VIDEO] Nahas Jalan Kuching: Pemandu BYD tiba di mahkamah bagi pendakwaan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-15-at-9.11.27-AM-1024x768.jpeg)
