
ALOR SETAR – “Sampai hati mereka buat anak saya macam itu, buang dia tepi jalan. Saya harap pelaku ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal.”
Itu luahan Azura Zor, 41, ibu kepada Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 19, yang ditemukan meninggal dunia disyaki dibunuh di tepi semak berhampiran Jalan Harvard Golf Club di Gurun, dekat sini kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Menurut Azura, dia tidak menyangka anak sulung daripada empat beradik yang gagal dihubungi sejak bulan lalu itu akhirnya ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa.
“Polis datang rumah dan menunjukkan gambar mayat untuk tujuan pengecaman, lemah badan saya apabila mendapati mayat itu adalah anak saya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Katanya, dia dimaklumkan terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala Muhammad Haikal, namun tidak mengetahui bagaimana anaknya mengalami kecederaan tersebut.
“Saya harap polis dapat siasat dan jika ada yang buat Haikal, saya harap pelaku ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal,” ujarnya.
Sementara itu, kata Azura, dia terputus khabar berita dengan arwah sejak bulan lalu dan tidak tahu mengapa anaknya itu gagal dihubungi.
“Kali terakhir jumpa bulan lepas, kami memang tak ada apa-apa masalah. Saya memang tak tahu sebab apa dia menghilangkan diri.
“Sebelum ini di rumah, dia okay sahaja. Dia suka bergurau dengan adik-adiknya. Saya memang tak tahu apa yang berlaku sampai jadi macam ini,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, suaminya pernah menerima WhatsApp daripada seseorang yang meminta wang sebanyak RM200, namun dia tidak mengetahui tujuan permintaan tersebut.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 20-an ditemukan orang awam di tepi semak berhampiran Jalan Harvard Golf Club kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian muka dan kepala mangsa. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Sampai hati buat anak saya macam itu, buang tepi jalan’ appeared first on Kosmo Online.






