Pahang ambil alih, bangunkan semula 10 projek Felda terbengkalai

21 Aug 2025 • 10:33 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
PGBF yang kini dikenali sebagai Rumah Pahang merupakan inisiatif kerajaan negeri Pahang bagi menyediakan kediaman mampu milik, khususnya untuk generasi kedua Felda di negeri ini. - Gambar hiasan

KUANTAN- Kerajaan negeri Pahang telah mengambil alih 10 Projek Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai sejak tahun 2019 untuk dibangunkan semula sebagai Rumah Pahang.

Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) dalam kenyataannya berkata, usaha tersebut menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri terhadap pelaksanaan projek berkenaan agar kediaman yang disediakan dapat dinikmati rakyat setempat.

Menurutnya, langkah pengambilalihan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam mencari penyelesaian tuntas supaya projek yang tergendala dapat diteruskan dengan lebih teratur melalui penyelarasan, pemantauan serta tindakan sewajarnya.

“Walaupun projek ini terbengkalai sekian lama di bawah Felda, namun kerajaan negeri tetap menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah untuk menyiapkannya.

“Pelaksanaan projek ini perlu melalui proses pembangunan yang teliti dan teratur seperti penyediaan pelan-pelan yang diluluskan oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

LPHP turut menyatakan bahawa projek itu perlu melalui proses saringan, penapisan dan semakan pemilikan pembeli serta pematuhan terhadap garis panduan teknikal yang ditetapkan.

“Meskipun melalui proses yang kompleks, usaha ini tetap dilaksanakan secara berfasa sebagaimana prosedur yang ditetapkan,” katanya.

PGBF yang kini dikenali sebagai Rumah Pahang merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi menyediakan kediaman mampu milik, khususnya untuk generasi kedua Felda di negeri ini.

LPHP menegaskan bahawa projek Rumah Pahang kekal sebagai agenda utama pembangunan negeri.

Menurutnya, sekiranya terdapat pemaju yang gagal menunaikan tanggungjawab, tindakan tegas termasuk tindakan perundangan akan diambil bagi melindungi hak pembeli.

“Fokus utama adalah memastikan rakyat, khususnya generasi kedua Felda, terus dapat menikmati kediaman yang selesa dan mampu milik.

“Usaha Pahang yang menjadi satu-satunya negeri mengambil alih 10 projek PGBF membuktikan komitmen jelas kerajaan negeri dalam menunaikan amanah, melindungi hak pembeli serta menjamin kesejahteraan rakyat Pahang,” katanya.

Tambah agensi itu, keyakinan terhadap kerajaan negeri turut diperkukuh melalui prestasi pencapaian dalam menyiapkan projek-projek di bawah Skim Perumahan Negeri seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang, Rumah Makmur, Rumah Rakyat Pahang dan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) yang telah memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) di semua daerah.

“Kejayaan ini menjadi bukti keupayaan kita melaksanakan projek perumahan dengan jayanya.

“Kerajaan negeri Pahang akan terus memastikan setiap projek perumahan yang dirancang dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat meskipun berdepan cabaran,” ujarnya.

Tegasnya, usaha itu tetap dipergiat kerana kepentingan rakyat adalah amanah yang tidak pernah diabaikan, termasuk dalam menyediakan kediaman selesa demi kehidupan yang baik untuk semua rakyat.