Pahang Berjaya Noktahkan Miskin Tegar, Pangkas Kemiskinan 30 Peratus - Wan Rosdy

19 Aug 2026 • 12:34 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Pahang Berjaya Noktahkan Miskin Tegar, Pangkas Kemiskinan 30 Peratus - Wan Rosdy

Pahang berjaya menoktahkan status miskin tegar apabila kesemua 2,913 Ketua Isi Rumah (KIR) yang direkodkan dalam lock figure pada 15 Januari lalu berjaya dikeluarkan daripada kategori berkenaan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu turut disusuli kejayaan mengurangkan jumlah KIR miskin sebanyak 30 peratus.

Menurutnya, sebanyak 4,263 daripada 14,210 KIR yang berstatus miskin pada 5 Jun lalu berjaya dikeluarkan daripada kelompok tersebut.

Katanya, kategori miskin tegar merujuk kepada isi rumah berpendapatan per kapita di bawah RM372 sebulan di bandar dan RM345 sebulan di luar bandar.

“Kategori miskin pula merujuk kepada pendapatan per kapita kurang daripada RM790 sebulan di bandar dan RM714 di luar bandar.

“Penentuan status ini berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia di bawah Kementerian Ekonomi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Baca juga:

Wan Rosdy berkata, data dalam Sistem eKasih bersifat dinamik dan sentiasa berubah mengikut keadaan sosioekonomi sesebuah isi rumah.

Jelasnya, perubahan pendapatan, kehilangan pekerjaan serta pertambahan atau pengurangan ahli isi rumah, termasuk anak KIR yang berpindah keluar kerana berkahwin atau mendapatkan pekerjaan, boleh mempengaruhi status sesebuah keluarga.

“Justeru, pencapaian ini bukan bermakna usaha membasmi kemiskinan telah selesai, sebaliknya ia menuntut tindakan, pemantauan dan intervensi yang berterusan,” ujarnya.

Menurutnya, antara faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian itu ialah penyampaian pelbagai bentuk bantuan, inisiatif dan intervensi bersasar oleh kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan serta agensi berkaitan.

Pada masa sama, perubahan pendapatan dan saiz isi rumah turut menyumbang kepada perubahan status berkenaan.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi bantuan, pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat bagi memastikan keluarga yang masih berada dalam kategori miskin dan miskin tegar terus menerima bantuan mengikut keperluan.

“Kita bukan sekadar mahu mengeluarkan rakyat daripada status kemiskinan, tetapi lebih penting memastikan mereka mampu berdikari, mempunyai sumber pendapatan yang lebih kukuh dan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.

“Insya-ALLAH, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendekatan memangkas kemiskinan ini demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai oleh seluruh rakyat Pahang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Pahang kekal komited membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi pendekatan yang menyeluruh, bersasar dan berterusan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved