Pahang berjaya noktahkan miskin tegar – Wan Rosdy

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 1:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pahang berjaya noktahkan miskin tegar – Wan Rosdy

KUANTAN – Pahang berada pada landasan tepat dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan menyeluruh, bersasar dan berterusan apabila berjaya menoktahkan miskin tegar.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hasil kerjasama semua pihak menyaksikan kesemua 2,913 ketua isi rumah (KIR) berjaya dikeluarkan daripada status miskin tegar pada 19 Februari lalu.

“Lebih membanggakan, Pahang turut berjaya memangkas kemiskinan sebanyak 30 peratus, apabila 4,263 daripada 14, 210 KIR yang berstatus miskin pada 5 Jun lalu telah berjaya dikeluarkan daripada kelompok tersebut.

“Pencapaian ini bukan bermakna usaha membasmi kemiskinan telah selesai, sebaliknya ia menuntut tindakan, pemantauan dan intervensi yang berterusan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, antara faktor utama menyumbang kepada kejayaan itu ialah penyampaian pelbagai bentuk bantuan, inisiatif serta intervensi bersasar oleh kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi berkaitan di samping perubahan pendapatan dan saiz isi rumah.

Katanya, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi bantuan, pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat bagi memastikan setiap keluarga yang masih berada dalam dua kategori miskin dan miskin tegar dalam senarai e-Kasih terus dibantu mengikut keperluan masing-masing.

“Kita bukan sekadar mahu mengeluarkan rakyat daripada status kemiskinan, tetapi lebih penting memastikan mereka mampu berdikari, mempunyai sumber pendapatan yang lebih kukuh dan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.

“Insya-Allah kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendekatan memangkas kemiskinan ini demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai oleh seluruh rakyat Pahang,”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kategori miskin tegar merujuk kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan per kapita di bawah RM 372 sebulan di bandar dan RM 345 di luar bandar manakala kategori miskin pula merujuk kepada pendapatan per kapita kurang daripada RM 790 sebulan di bandar dan RM714 di luar bandar.

Jelasnya, penentuan status tersebut adalah berdasarkan kepada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia di bawah Kementerian Ekonomi.

“Pada masa yang sama, kita perlu memahami bahawa data dalam sistem e-Kasih bersifat dinamik dan sentiasa berubah mengikut keadaan sosio ekonomi sesebuah isi rumah.

“Perubahan pendapatan, kehilangan pekerjaan, pertambahan atau pengurangan ahli isi rumah, termasuk anak-anak KIR yang berpindah keluar kerana berkahwin atau mendapatkan pekerjaan, boleh mempengaruhi status sesebuah keluarga,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

The post Pahang berjaya noktahkan miskin tegar – Wan Rosdy appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved