
PETALING JAYA – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tiga beranak yang maut dalam kebakaran dua buah rumah di Desa Mawar 2, Muadzam Shah, Rompin, hari ini.
Wan Rosdy menerusi hantaran di Facebook berkata, kejadian itu amat mendukacitakan.
Mangsa yang maut ialah Siti Zaleha Aluha, 31, suaminya, Mohd Kahurolaizam Mokhtar, 42, serta anak mereka, Muhamad Putra Rayqal Mohd Kahurolaizam, 4.
“Ketiga-tiga mangsa telah terkorban dalam kejadian kebakaran di Desa Mawar 2, Muadzam Shah, Rompin,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh ketiga-tiga mangsa, mengampuni segala dosa dan kesalahan mereka serta menempatkan mereka bersama para solihin dan syuhada.
“Al-Fatihah,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi dilaporkan berkata, Allahyarham Mohd Kahurolaizam dijumpai di dalam longkang hadapan rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan Hospital Muadzam Shah.
Beliau berkata isteri mangsa, Siti Zaleha dan anak mereka Muhamad Putra Rayqal ditemukan pihak bomba dalam keadaan rentung di sudut sebuah bilik.
“Bagaimanapun, anak lelaki mangsa berusia 16 dan 10 tahun sempat melarikan diri dalam kejadian berkenaan,” katanya.
Sharif Shai berkata rumah bersebelahan yang didiami seorang lelaki berusia 35 tahun bersama-sama isteri dan empat anaknya turut terjejas, namun kesemua mereka selamat.
Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat, manakala siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE
The post Wan Rosdy zahir takziah, tiga beranak rentung di Muadzam Shah appeared first on Kosmo Digital.





