Pahang catat kadar penginapan tertinggi tiga tahun berturut-turut

LocalTravel
24 Apr 2026 • 2:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pahang catat kadar penginapan tertinggi tiga tahun berturut-turut
Pahang berjaya merekodkan kadar purata tempoh penginapan tertinggi di Malaysia bagi tahun 2025.

KUANTAN - Pahang merekodkan kadar purata tempoh penginapan tertinggi di Malaysia dengan 76.3 peratus melibatkan lebih 36,000 bilik penginapan berdaftar di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga Disember 2025.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, pencapaian itu direkodkan oleh Bahagian Perancangan Strategik, Tourism Malaysia sekali gus menjadikan negeri ini mengekalkan kedudukan tersebut untuk tiga tahun berturut-turut.

Menurutnya, data diperoleh menunjukkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di kedudukan kedua dengan purata 66.9 peratus, diikuti Pulau Pinang (58.6 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (56.0 peratus), Selangor (54.8 peratus) dan Johor (54.2 peratus).

"Kadar purata tempoh penginapan tertinggi di Malaysia yang dicatatkan oleh Negeri Pahang menunjukkan respons amat positif terhadap peningkatan kedatangan pelancong ke negeri ini.

"Pada tahun 2025, jumlah kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa mencatatkan sebanyak 15.28 juta orang. Kita juga optimis untuk mencapai sasaran 15.5 juta pelancong bagi tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau memberitahu, prestasi itu membuktikan Pahang terus menjadi pilihan utama pelancong domestik dan antarabangsa yang tertarik dengan keunikan produk pelancongan negeri ini.

Jelasnya, ia merangkumi pelbagai tarikan termasuk alam semula jadi, pantai dan pulau, tanah tinggi, warisan budaya serta pengalaman gastronomi tempatan.

Beliau turut memaklumkan lima daerah yang merekodkan prestasi kedatangan pelancong paling memberangsangkan ialah Bentong, Kuantan, Cameron Highlands, Temerloh dan Rompin.

"Destinasi popular seperti Genting Highlands, Pulau Tioman, Cameron Highlands, Taman Negara dan Bandaraya Kuantan terus menjadi tarikan utama serta kekal relevan dalam peta pelancongan negara, seiring dengan peningkatan jumlah pengunjung dari semasa ke semasa.

"Kejayaan ini turut didorong oleh pelbagai usaha promosi berterusan, penganjuran acara pelancongan berskala besar, kerjasama strategik bersama pemain industri serta komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pelancongan sebagai antara pemacu ekonomi utama Pahang," jelasnya.

Yu Man menambah, dengan kelebihan produk pelancongan yang pelbagai dan bertaraf dunia, Pahang diyakini akan terus melakar prestasi cemerlang.

"Kita juta dapat memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pilihan utama di Malaysia," katanya.