IPOH - Perak merekodkan kes kedua tertinggi di Semenanjung membabitkan aktiviti perlombongan bitcoin haram dengan kerugian mencecah RM5.49 bilion kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak 2018.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kegiatan tersebut dikesan melibatkan pengubahsuaian meter serta penyambungan bekalan elektrik secara haram.
Menurutnya, sehingga Februari tahun ini, TNB telah mengambil tindakan ke atas 17,489 premis di seluruh negara dengan Perak sendiri melibatkan 4,283 premis.
"Dari segi taburan kes, daerah Manjung merekodkan jumlah tertinggi dengan 1,742 premis melibatkan anggaran kerugian RM53.4 juta, diikuti Perak Tengah (Seri Iskandar) sebanyak 857 premis dengan kerugian sekitar RM26.2 juta.
“Kebanyakan kes di dua kawasan ini merupakan kes berulang yang melibatkan pengusikan pepasangan meter,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.
Mohammad Nizar berkata, peningkatan nilai mata wang kripto bitcoin sebanyak 732 peratus sejak 2018 menjadi antara faktor utama yang mendorong peningkatan mendadak aktiviti perlombongan haram tersebut.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penglibatan lebih aktif pihak berkuasa tempatan dalam usaha membanteras kegiatan berkenaan.
“PBT mempunyai kuasa dari segi perlesenan, penggunaan tanah serta keselamatan bangunan dan boleh membantu menutup atau menyita premis yang terlibat.
“Langkah ini penting bagi memperkukuh tindakan bersepadu agar aktiviti perlombongan bitcoin haram dapat dibanteras secara lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, TNB kini menggunakan teknologi terkini termasuk dron dan analisis data bagi mengesan premis yang mencurigakan.
Katanya, penggunaan analisis data membolehkan pihak TNB menilai corak penggunaan tenaga elektrik serta menganalisis 'meter event' khususnya bagi premis yang menggunakan meter pintar, sekali gus membantu mengenal pasti premis yang terlibat dengan lebih berkesan dan pantas.
"Peruntukan bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 telah diperturunkan kepada Polis Diraja Malaysia, membolehkan tindakan terus diambil terhadap kesalahan berkaitan pengusikan pepasangan meter khususnya melibatkan perlombongan bitcoin.
"Seksyen 38 akta sama turut membolehkan TNB menuntut kerugian hasil dan kos berkaitan akibat gangguan terhadap sistem bekalan elektrik," katanya.






