Pahang kembangkan rantaian industri perikanan menerusi pendekatan Sepanyol

LocalBusiness & Finance
28 Sep 2026 • 3:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pahang kembangkan rantaian industri perikanan menerusi pendekatan Sepanyol Image from: Pahang kembangkan rantaian industri perikanan menerusi pendekatan Sepanyol liza28/09/2026 - 15:27 Lawatan ke Sepanyol memberi peluang kepada delegasi Pahang melihat dengan lebih dekat bagaimana penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi pemprosesan hasil laut serta pemeliharaan ikan digabungkan bagi menghasilkan produk yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Sept – Pahang mahu memanfaatkan pengeluaran perikanan sebanyak 148,968 tan metrik pada 2025 untuk membangunkan industri hiliran yang lebih bernilai dengan model pemprosesan hasil laut di Sepanyol dijadikan rujukan.

 

Langkah itu susulan lawatan kerja delegasi Pahang ke Vigo, Sepanyol bagi meninjau kemajuan industri perikanan dan pemprosesan hasil laut, termasuk penggunaan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengurusan rantaian bekalan.

 

Berdasarkan data Jabatan Perikanan Malaysia, pengeluaran perikanan Pahang meningkat daripada 144,651.73 tan metrik pada 2024 kepada 148,968 tan metrik pada 2025 yang tertinggi di Pantai Timur.

 

Jumlah pengeluaran itu menunjukkan Pahang mempunyai asas sumber perikanan yang besar untuk dikembangkan daripada aktiviti pendaratan dan penjualan ikan mentah kepada rantaian industri yang lebih lengkap.

 

Model industri perikanan Sepanyol jadi rujukan

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata lawatan ke Vigo memberi peluang kepada delegasi negeri melihat dengan lebih dekat bagaimana penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi pemprosesan hasil laut serta pemeliharaan ikan digabungkan bagi menghasilkan produk yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

 

Delegasi Pahang turut mengunjungi Anfaco-Cytma dan Grupo Profand untuk melihat operasi pemprosesan ikan dan makanan laut, pengurusan rantaian bekalan, teknologi penyimpanan serta aspek keselamatan dan kawalan kualiti makanan.

 

“Industri perikanan di Sepanyol tidak terhad kepada aktiviti menangkap dan mendaratkan ikan semata-mata, sebaliknya dibangunkan melalui rantaian lengkap daripada pendaratan, pemprosesan, penyimpanan dan pembungkusan hingga pemasaran.

    
“Pendekatan itu dilihat relevan dengan Pahang yang mempunyai kedudukan penting dalam sektor perikanan di Pantai Timur dan mahu meningkatkan nilai ekonomi yang terhasil daripada sumber perikanan,” katanya.

 

Daripada ikan mentah kepada produk hiliran

Wan Rosdy berkata, Pahang tidak mahu selama-lamanya hanya menjadi negeri yang membekalkan ikan mentah, sebaliknya mahu hasil laut diproses di negeri itu dan diberikan nilai tambah sebelum dipasarkan.

 

Katanya, antara produk hiliran yang boleh dibangunkan termasuk makanan sejuk beku, makanan sedia dimakan, produk berasaskan ikan, produk surimi serta makanan dalam tin.

 

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan nilai ekonomi hasil laut tidak terhenti di jeti atau pasar, sebaliknya terus berkembang sepanjang rantaian industri.

 

Rantaian berkenaan merangkumi pelbagai pihak termasuk nelayan, pengusaha, usahawan dan industri pemprosesan sebelum produk dipasarkan kepada pengguna.

 

Dengan pengeluaran sebanyak 148,968 tan metrik pada 2025, Pahang mempunyai asas sumber perikanan yang boleh menyokong usaha memperluaskan aktiviti pemprosesan dan menghasilkan lebih banyak produk bernilai tambah.

 

Menurut Wan Rosdy, pembangunan rantaian industri perikanan yang lebih lengkap akan membolehkan hasil laut Pahang memberikan manfaat yang lebih besar kepada pemain industri serta ekonomi negeri. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved