
SEIRING kemajuan teknologi dan perubahan zaman, industri penanaman padi turut berubah, dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran sekali gus memastikan sektor agromakanan terus berdaya saing.
Sehubungan itu, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) melaksanakan pendekatan pertanian pintar menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), bermula daripada penyediaan tanah, penanaman, pertumbuhan dan pembajaan sehinggalah ia dituai.
Antaranya penggunaan alat soil scanner (pengimbas tanah), mobile solar water pump (pam air solar mudah alih), mesin jentanam dengan teknologi autonomi tanpa pemandu, dron untuk pembenihan, pembajaan dan kawalan penyakit serta dron pemantau dengan teknologi pengimejan multispektral.
Ketua Unit Agronomi Jabatan Ladang BERNAS, Dr. Nur Firdaus Mohamed Yusof berkata, alat soil scanner digunakan untuk mendapatkan bacaan pH dan CEC dalam tempoh hanya lima minit, berbanding kaedah lama penilaian makmal iaitu antara dua minggu hingga 30 hari.

“Masa yang diambil ini kadangkala menyebabkan kita terlepas musim untuk rawatan tanah. Proses penanaman padi ini maksimum empat bulan, jadi gerak kerja sangat-sangat cepat.
“Kami di BERNAS membuat pembelian AgroCares Soil Scanner bagi mendapatkan bacaan pH dan CEC tanah dalam tempoh yang singkat menggunakan pangkalan data ‘cloud’ pada alat itu serta boleh dibaca melalui aplikasi di telefon pintar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi temu bual khas bersama BERNAS di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, baru-baru ini.
Nur Firdaus berkata, satu laporan akan dijana berhubung keputusan imbasan tanah termasuk cadangan rawatan kepada pesawah sebelum proses dilakukan.
“Kita kena pastikan pH tanah itu melebihi 5.5 ke atas. Misalnya jika 4.5 iaitu bawah 5.5, tanah itu tidak tersedia untuk penanaman dan kemungkinan untuk benih tidak tumbuh itu memang ada,” katanya.

ini.
Tambah beliau, alat itu telah digunakan di Kelantan dan Terengganu melibatkan hampir 100 hektar tanah sawah, manakala BERNAS merancang membuat pembelian tiga unit lagi untuk kegunaan di utara, tengah dan selatan Semenanjung.
Nur Firdaus berkata, seterusnya penggunaan mobile solar water pump dilengkapi sensor paras air serta dihubungkan menerusi aplikasi telefon pintar yang membantu petani memantau keadaan air di sawah padi.
“Pada peringkat permulaan misalnya, paras air diperlukan ialah kira-kira lima sentimeter (cm) bagi membolehkan padi tumbuh melonjak naik.
“Jika air kurang lima sm, sensor akan mengesan keadaan itu dan kemudian, pam air itu akan mengisi air ke dalam sawah secara automatik. Maklumat ini juga boleh dipantau di telefon,” katanya.
Nur Firdaus berkata, langkah seterusnya iaitu proses mencedung iaitu menanam anak padi semula menerusi penggunaan mesin jentanam dilengkapi teknologi autonomi tanpa pemandu.
“Kita buat pemetaan kawasan untuk menentukan lokasi sesuai bagi semaian anak benih padi dan mesin jentaman ini akan bergerak sendiri serta boleh dikawal menggunakan telefon pintar,” katanya.
Beliau berkata, untuk kerja-kerja penaburan benih juga dipermudah menerusi kaedah moden dron sekali gus boleh menggantikan knapsack blower (mesin tabur padi) serta meringankan tugas petani dan pesawah.
“Kalau dulu mereka terpaksa angkat knapsack dan melakukan beberapa pusingan untuk dihabiskan. Bayangkan jika guna lapan beg benih dengan anggaran kira-kira 160 kilogram, perlu kudrat untuk mengangkatnya.
“Kita menggunakan dron pertanian bukan hanya untuk menabur benih, ia juga boleh digunakan untuk membaja serta kawalan rumpai, penyakit dan
perosak,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi teknologi digunakan oleh BERNAS bagi membantu petani dan pesawah ialah dron untuk pemantauan yang dilengkapi teknologi pengimejan multispektral.
“Sebelum ini petani kena turun ke sawah untuk tahu serangan penyakit, contohnya ulat daun, pengorek batang dan bena perang. Apabila menggunakan mata kasar, tidak nampak apa yang berlaku.
“Dron ini boleh terbang dan melakukan pemantauan udara aras rendah bagi membolehkan pengesanan penyakit dan perosak secara masa nyata dijalankan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, usaha BERNAS mempamerkan alatan dan teknologi moden pada MAHA 2026 adalah usaha menarik minat golongan muda menceburi bidang ini dalam memastikan kesinambungan sektor padi serta keterjaminan makanan negara.
“Bersawah ini memang susah dan menggunakan keringat yang banyak. Kalau sudah biasa dari kecil, mungkin tidak ada masalah.
“Kita gunakan pendekatan seperti mesin moden untuk hentikan ‘keringat’ itu serta tarik golongan muda terlibat dalam industri penanaman padi,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Digitalisasi BERNAS pacu transformasi industri padi appeared first on Kosmo Online.






