Pahang ketengahkan lima projek strategik tarik pelaburan luar dari Indonesia dan Thailand

LocalBusiness & Finance
4 Sep 2025 • 10:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pahang ketengahkan lima projek strategik tarik pelaburan luar dari Indonesia dan Thailand

image is not available

04/09/2025 - 10:47

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept – Pahang mempergiatkan usahanya menarik pelaburan luar negara melalui kerangka kerjasama Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia–Malaysia–Thailand (IMT-GT) dengan menampilkan lima projek pembangunan utama yang berpotensi melonjakkan kedudukan negeri itu sebagai hab serantau.

Lima projek strategik berkenaan ialah pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan projek pemecut ekonomi (EAPs) di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang.

Selain itu, kerajaan negeri turut menjadikan Gebeng sebagai Taman Perindustrian Halal serantau, membangunkan industri daging Wagyu dan tenus, mempromosikan ‘Visit Pahang’ bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta pembangunan Geopark Lipis ke arah pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark.

Kesemua projek itu dilihat mampu menarik minat pelabur asing dalam sektor infrastruktur, industri halal, pertanian moden, pelancongan dan pemeliharaan alam sekitar.

Ia sejajar dengan agenda IMT-GT yang memberi penekanan kepada pertumbuhan inklusif dan mampan di rantau ini.

Ditubuhkan pada tahun 1993, IMT-GT berfungsi sebagai platform penting yang menghimpunkan tiga negara anggota untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, menggalakkan keterangkuman sosial dan menitikberatkan kelestarian alam sekitar.

Forum Ketua Menteri dan Gabenor (CMGF) IMT-GT yang berlangsung di Trang, Thailand pada 2 September 2025 menjadi medan utama bagi negara anggota berkongsi pandangan, menangani cabaran bersama serta merangka hala tuju masa depan rantau.

image is not available
Gambar Facebook Menteri Besar Pahang

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai delegasi Malaysia ke forum tersebut berkata, penglibatan aktif negeri dalam IMT-GT membuktikan Pahang kini diiktiraf di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

Menurut beliau, lima projek pembangunan utama itu adalah kunci untuk memperkukuh kedudukan Pahang sebagai destinasi pelaburan baharu, sekali gus menyumbang kepada daya saing rantau IMT-GT secara keseluruhan.

Beliau menegaskan kepentingan tumpuan pada bidang utama seperti transformasi digital, infrastruktur moden, pembangunan mampan dan hubungan rakyat ke rakyat bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara inklusif.

“Dengan adanya projek-projek ini, kita bukan sahaja menambah baik ekosistem pelaburan Pahang tetapi turut memperkukuh jaringan kerjasama serantau di bawah IMT-GT,” katanya.

Wan Rosdy turut menyuarakan keyakinan bahawa kerjasama erat antara negara anggota mampu membuka potensi penuh rantau, seterusnya menjana kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.

Beliau menyeru semua pihak memperbaharui komitmen terhadap visi bersama IMT-GT serta memastikan setiap inisiatif yang digerakkan membawa impak positif jangka panjang. - DagangNews.com

standard