KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menegaskan pendirian agar negeri itu diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama.
Baginda turut mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
"Sehubungan itu, saya ingin menegaskan pendirian agar Negeri Pahang diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama," titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana AbdulAziz pada malam Jumaat.
Dalam kenyataan sama, Tengku Hassanal turut menyampaikan mesej penuh makna menerusi rangkap pantun.
"Pisang emas dibawa belayar, Masak sebiji di atas peti, Hutang emas boleh dibayar, Hutang budi dibawa mati," titah baginda lagi.
Terdahulu, ketika bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15, di Wisma Sri Pahang, Tengku Hassanal bertitah menzahirkan kekecewaan terhadap beberapa keputusan Kerajaan Persekutuan yang didakwa tidak memihak kepada hak dan kepentingan negeri itu.
Baginda dilapor bertitah, kerajaan Pusat perlu lebih cakna terhadap hak negeri termasuk dalam soal hasil bumi, pelaksanaan projek serta bidang kuasa perundangan di negeri itu.






