
Tengku Hassanal Ambil Maklum Kenyataan PM, Titip Pantun Lama
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengambil maklum mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan ringkas yang disiarkan di Facebook Kesultanan Pahang, Tengku Hassanal menegaskan pendirian agar negeri Pahang diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama.
Kenyataan itu diakhiri dengan pantun lama iaitu:
Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Terdahulu, Anwar memaklumkan bahawa beliau akan meminta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan Kerajaan Pusat kepada Pahang untuk dikemukakan kepada Tengku Hassanal, lapor Astro Awani.
Pengantin Terkejut Jumpa Sultan, Tengku Ampuan Pahang Masa “Photoshoot”
Istana Pahang Nafi Tengku Mahkota Pahang Akan Kahwin April Tahun Depan
"Saya hormat Tengku Mahkota… tetapi peruntukan kepada negeri Pahang itu besar, bukan kecil. Saya akan minta Menteri Kewangan II menulis dan memberikan penjelasan keseluruhannya mengenai peruntukan untuk negeri Pahang serta keadaan ekonomi semasa.
"Sebagai rakyat, kita hormati dan kita teliti dengan baik,” katanya
Sebelum itu, ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15, Tengku Hassanal mempersoalkan peruntukan pusat kepada negeri Pahang.

Baginda berkata Pahang menerima kelulusan 33 projek baharu dan 434 projek sambungan dengan nilai keseluruhan mencecah RM3.386 bilion.
“Saya tidak mahu melihat berlakunya ketirisan, kelewatan mahupun pembaziran. Setiap sen peruntukan mesti dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat,” titah baginda.
Baginda juga kecewa terhadap keputusan Kerajaan Pusat kerana tidak meluluskan usaha Pahang untuk menambah hasil negeri, termasuk melalui eksport pasir sungai.






