Pahang pertimbang perluas biasiswa pengajian Sarjana, PhD

LocalPolitics
14 Nov 2026 • 11:54 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Pahang biasiswa

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Pahang bersedia mempertimbangkan peluasan skim penajaan pendidikan khususnya kepada anak negeri yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pendidikan bagi melahirkan lebih ramai tenaga pakar dan golongan profesional yang mampu menyumbang kepada pembangunan Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peluasan skim berkenaan akan diteliti berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan negeri yang terus diperkukuh.

Image from: Pahang pertimbang perluas biasiswa pengajian Sarjana, PhD

Menurut beliau, pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang menjadi asas penting dalam memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan secara mampan.

Katanya, Yayasan Pahang memainkan peranan utama dalam menyediakan peluang pendidikan kepada anak negeri menerusi pelbagai bentuk bantuan termasuk biasiswa, pinjaman dan geran pendidikan.

“Antara bantuan sedia ada ialah Geran Bantuan Pelajaran Yayasan Pahang yang menyediakan RM700 secara sekali bayar kepada pelajar peringkat prasiswazah, manakala RM1,200 bagi pelajar pascasiswazah yang mengikuti pengajian Sarjana dan PhD.

“Kita juga menyediakan Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar, Skim Pelajar Cemerlang serta kemudahan pinjaman pendidikan,” katanya.

Image from: Pahang pertimbang perluas biasiswa pengajian Sarjana, PhD

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mahasiswa pada sesi Townhall Menteri Besar Pahang bersama Mahasiswa Anak Pahang sempena Konvensyen Bakti Negeri Siswa Pahang Apresiasi Pahang 1st 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan menerusi inisiatif IM Pahang Kluster Siswa sebanyak RM400 secara sekali bayar kepada pelajar yang melanjutkan pengajian dalam negara, manakala RM1,000 bagi persediaan melanjutkan pengajian ke luar negara.

Jelasnya, kadar bantuan dalam negara itu meningkat secara berperingkat daripada RM200 pada 2022 kepada RM300 pada 2023, sebelum dinaikkan kepada RM400 bagi tempoh 2024 hingga 2026.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM3.5 juta menerusi Belanjawan 2026 bagi pembangunan dan menaik taraf kemudahan latihan Pahang Skills sebagai usaha memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Image from: Pahang pertimbang perluas biasiswa pengajian Sarjana, PhD

Menurut beliau, bidang TVET merupakan antara laluan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri serta pasaran pekerjaan masa hadapan.

Sehubungan itu, katanya, persepsi bahawa TVET merupakan pilihan kedua selepas pendidikan akademik perlu diubah memandangkan bidang berkenaan turut menawarkan peluang kerjaya yang luas serta potensi pendapatan yang baik.

The post Pahang pertimbang perluas biasiswa pengajian Sarjana, PhD appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved