
SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat memperluas penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) ke negara ASEAN melalui SIBS@ASEAN bagi membantu syarikat tempatan meluaskan rangkaian ke luar negara.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri menyasarkan penganjuran SIBS@ASEAN setiap tahun sepanjang satu dekad bagi merealisasikan hasrat Selangor sebagai pintu masuk ASEAN.
“Langkah ini telah dimulakan pada tahun ini apabila siri pertama SIBS@ASEAN dianjurkan di Bandung sebagai peluang untuk memasarkan pelaburan yang terdapat di Selangor kepada syarikat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 dengan tema 'Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni' di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Sementara itu, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor akan melaksanakan Selangor Career Oitreach Programme (SCOUT) Talent Expo dan SCOUT Skills Enhancement Programme pada tahun depan.
Beliau berkata, dua inisiatif yang dianjur dalam SIBS itu dianjurkan bagi membantu graduan, syarikat dan tenaga kerja dalam mengatasi cabaran ketidakpadanan kemahiran serta peluang pekerjaan.
“Selain daripada tapak pelaburan, Kerajaan Negeri memahami keperluan menyediakan tenaga kerja bagi memenuhi keperluan tenaga buruh mahir daripada syarikat atau pelabur yang berminat untuk bertapak di Selangor,” katanya.
Bulan lalu, SCOUT Talent Expo 2026 yang diadakan sempena SIBS 2026 memberikan penekanan khusus kepada pembangunan modal insan, padanan bakat dan keperluan tenaga kerja industri.
Ekspo berkenaan bukan sekadar platform yang menghubungkan pencari kerja dengan majikan, malah berperanan sebagai ruang menemukan bakat tempatan dengan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan keperluan semasa dan masa hadapan industri.





