Pahang rancang tambah peruntukan inisiatif haji

LocalPolitics
23 Apr 2026 • 3:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pahang rancang tambah peruntukan inisiatif haji
Wan Rosdy (dua dari kiri) menyampaikan inisiatif kepada salah seorang penerima di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Khamis.
Image from: Pahang rancang tambah peruntukan inisiatif haji
Wan Rosdy bergambar beramai-ramai bersama tetamu dan penerima di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Khamis.
Image from: Pahang rancang tambah peruntukan inisiatif haji
Muhammad Naji
Image from: Pahang rancang tambah peruntukan inisiatif haji
Alya Sorfina
Image from: Pahang rancang tambah peruntukan inisiatif haji
Hasniza

SHAH ALAM - Kerajaan Pahang merancang menambah peruntukan Inisiatif Makmur Pahang Barakah Haji pada masa depan bergantung kepada kedudukan kewangan semasa.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri berharap dapat memperluaskan manfaat inisiatif itu selepas melihat sambutan positif tahun ini.

Menurutnya, bantuan yang bermula sebanyak RM500 pada 2023 telah dinaikkan kepada RM750, selain diperluaskan kepada anak Pahang yang menetap di luar negeri itu.

"Insya-ALLAH jika kerajaan negeri mempunyai keupayaan kewangan, kita akan tambah lagi peruntukan dan jumlah penerima pada masa akan datang.

"Tahun ini juga julung kali kita libatkan anak perantauan dan kita tidak mahu mereka ketinggalan dalam menerima manfaat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Barakah Haji (Perantauan) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Khamis.

**media[3499925]**

Dalam majlis itu, seramai 144 jemaah haji anak Pahang di perantauan menerima sumbangan RM750 setiap seorang sebagai persediaan ke Tanah Suci.

Wan Rosdy berkata, keseluruhan implikasi kewangan bagi program bantuan haji negeri itu dianggarkan mencecah RM3.2 juta melibatkan lebih 1,700 jemaah termasuk yang diraikan di Kuantan sebelum ini.

Pada masa sama, beliau menasihatkan semua jemaah supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah serta mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk Lembaga Tabung Haji.

"Cuaca di Arab Saudi boleh mencecah lebih 40 darjah Celsius dan mereka berpengalaman mengurus jutaan jemaah setiap tahun, jadi dengar arahan dan kekal berdisiplin,” katanya.

Mengulas perkembangan semasa, Wan Rosdy memberitahu, kerajaan negeri sentiasa mendapatkan pandangan daripada Kementerian Luar Negeri Malaysia bagi memastikan aspek keselamatan jemaah terjamin.

"Kita patuhi nasihat yang diberikan termasuk daripada Menteri Luar sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh syiar Islam di Pahang menerusi peruntukan lebih RM235 juta pada tahun ini.

Katanya, dana tersebut disalurkan kepada pelbagai inisiatif termasuk sekolah agama, institusi tahfiz, masjid dan surau selain program kebajikan rakyat seperti penyediaan makanan kepada pelajar serta bantuan kepada jemaah haji.

“Angka tidak pernah berbohong kerana setiap tahun peruntukan untuk pembangunan Islam meningkat dan usaha ini akan terus diteruskan mengikut kemampuan kewangan negeri," tambah beliau.

Seorang penerima inisiatif itu, Muhammad Naji Amaluddin, 46, berkata, dia bersyukur kerana terpilih menerima bantuan kerajaan Pahang bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.

**media[3499989]**

Menurutnya, bantuan itu bermakna kerana dia akan mengiringi ibu bapanya, Amaluddin Abd Hashim, 80, dan Wasah Hasan, 70, ke Tanah Suci.

"Sebagai anak perantau yang tinggal di luar Pahang, saya menerima inisiatif ini dan akan mengiringi kedua ibu bapa akan berangkat bersama Sabtu ini,” katanya.

Menurut Muhammad Naji, peluang menunaikan haji kali ini amat dinanti-nantikan keluarganya selepas hampir 10 tahun menunggu.

"Selama ini permohonan tidak berjaya, kadang-kadang seorang dapat, seorang lagi tidak, tetapi tahun ini rezeki kami bertiga.

“Ayah memang sudah lama berharap untuk mengerjakan rukun Islam kelima ini walaupun usia sudah lanjut dan ada sedikit masalah kesihatan," jelasnya.

Muhammad Naji berkata, dia turut membuat persediaan rapi termasuk menyediakan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan bapanya sepanjang di sana.

"Walaupun ayah masih boleh berjalan, saya sediakan juga kerusi roda untuk kegunaan jika perlu.

"Ini peluang besar untuk kami sekeluarga dan saya akan pastikan mak dan ayah dapat menunaikan ibadah dengan sebaiknya," ujarnya.

Seorang lagi penerima, Alya Sorfina Ahmad, 24, berkata, inisiatif yang diterimanya itu amat bermakna lebih-lebih lagi selepas baharu memulakan pekerjaan pada awal April lalu.

Katanya, walaupun belum menerima gaji pertama, namun sudah membuat persediaan kewangan lebih awal hasil didikan ibunya yang menggalakkan amalan menabung sejak kecil.

**media[3499990]**

"Walaupun sekarang kos haji tinggi, sekurang-kurangnya saya sudah ada simpanan asas,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu mengakui masih membuat persiapan dari segi ilmu dan fizikal sebelum berangkat ke Tanah Suci.

"Persediaan ada, tapi rasa belum cukup. Jadi saya cuba tambah ilmu sedikit demi sedikit," jelasnya.

Seorang ibu tunggal, Hasniza Alias, 48, berkata, dia bersyukur kerana kerajaan Pahang prihatin terhadap kebajikan anak perantauan.

Hasniza yang kehilangan suami, Allahyarham Mohd Hanafi Atan, akibat serangan jantung pada 2016 dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada 14 Mei ini.

**media[3499995]**

"Selepas dapat tawaran haji saya terus gandakan usaha dari segi persediaan ilmu dengan menghadiri kursus asas, intensif dan perdana.

"Malah, sejak tiga tahun lalu saya memang konsisten pergi kursus haji setiap tahun untuk betul-betul bersedia,” katanya.

Ibu kepada dua anak itu berkata, selain ilmu, dia turut menitikberatkan persediaan fizikal dengan melakukan aktiviti berjalan kaki secara konsisten.

Mengulas mengenai anak-anak, Hasniza berkata, dia tidak terlalu risau kerana anak sulungnya berusia 19 tahun boleh menjaga adiknya yang berumur 13 tahun sepanjang ketiadaannya.

*Saya dah bincang dengan mereka dan Alhamdulillah anak sulung boleh jaga adik, kebetulan dia juga mengikuti kelas secara dalam talian, jadi berada di rumah,” katanya.

Meskipun menunaikan haji seorang diri tanpa ditemani mahram, Hasniza menyerahkan sepenuhnya kepada ketentuan Allah.

"Saya syukur sebab tahap kesihatan ketika ini berada dalam keadaan baik dan berharap dapat menunaikan ibadah dengan sempurna," tambahnya.