Subsidi minyak dipertahan, kerajaan fokus rakyat bukan PRU - PM

LocalPolitics
5 Apr 2026 • 6:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada penerima pada program bersama warga Felda di Felda Semenchu, Kota Tinggi.

KOTA TINGGI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak tindakan sesetengah pihak yang mengkritik kerajaan susulan kenaikan harga petrol dan diesel ketika dunia berdepan kekurangan bekalan tenaga.

Menurut beliau, kenaikan harga bahan api tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan kos global termasuk tambang penghantaran dan insurans susulan konflik geopolitik di Asia Barat.

“Ada pembangkang kritik, kapal lepas Selat Hormuz tetapi harga masih mahal. Memanglah mahal kerana tambang dan insurans semua naik, tetapi sekurang-kurangnya kita ada bekalan minyak, negara lain ada yang tiada minyak,” katanya.

Menteri Kewangan itu menambah kerajaan masih menanggung subsidi besar bagi memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kenaikan kos tersebut.

“Jika ikut geram saya, bagi mereka yang cakap banyak itu jangan bagi minyak, baru mereka naik minyak agaknya,” katanya secara berseloroh.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perdana Menteri Bersama Warga Peneroka Felda di Felda Semenchu, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan kerajaan akan terus mempertahankan pelaksanaan subsidi bahan api walaupun berdepan tekanan ekonomi global demi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Pada masa sama, beliau menegaskan pihaknya tidak memikirkan soal tarikh pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang susulan konflik dunia semasa yang turut menjejaskan ekonomi negara dan masyarakat tempatan.

Sebaliknya, katanya, fokus kerajaan dan barisan Jemaah Menteri adalah memastikan kesan minimum terhadap kesejahteraan hidup pelbagai lapisan masyarakat.

“Kita sedang bekerja, tidak perlu fikirkan pilihan raya, lambat lagi. Sebaliknya kita tumpukan kepada perkara ini dan cuba cari penyelesaian.

"Setakat ini setiap bulan kerajaan tanggung sebanyak RM6 bilion subsidi tambahan sejak perang bermula," katanya.