Pahang rekod 622 kes dera, pengabaian kanak-kanak tahun lalu

LocalPolitics
25 Nov 2026 • 1:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pahang rekod 622 kes dera, pengabaian kanak-kanak tahun lalu
Pahang merekodkan 622 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan tahun lalu. Foto hiasan

KUANTAN - Pahang merekodkan 622 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan tahun lalu.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Sabariah Saidan berkata, 495 kes direkodkan secara kumulatif sehingga 18 November 2026.

Menurutnya, statistik itu menunjukkan isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak memerlukan perhatian serta tindakan berterusan daripada semua pihak.

"JKM sentiasa memperkukuh mekanisme pengesanan awal, penerimaan aduan, siasatan sosial, tindakan perlindungan segera dan pemantauan susulan bagi memastikan keselamatan mangsa sentiasa terjamin.

"Tujuh langkah diambil bagi menangani isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak di negeri ini bagi memastikan golongan itu mendapat perlindungan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan V Arumugam (BN- Sabai ) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Sabariah berkata, antara langkah utama yang dilaksanakan, memperkukuh sumber manusia dengan menambah pelindung kanak-kanak.

Menurutnya, sehingga Oktober lalu, terdapat 52 pelindung Kanak-kanak di Pahang termasuk 37 orang yang dilantik secara kontrak.

"Pelindung kanak-kanak ini akan mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan penderaan dan pengabaian yang diterima berdasarkan peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

"Selain itu, penilaian risiko dan siasatan sosial turut dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap keselamatan serta keperluan perlindungan kanak-kanak yang terlibat," ujarnya.

Tambah beliau, bagi kes yang memerlukan perlindungan segera, kanak-kanak berkenaan akan ditempatkan di lokasi selamat termasuk institusi kebajikan bersesuaian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) yang diputuskan Mahkamah Bagi Kanak-kanak (MBKK).

"Pendekatan itu mengambil kira konsep Pemeliharaan Berasaskan Keluarga (PBK).

"JKM juga menyediakan intervensi, sokongan psikososial dan pemulihan kepada kanak-kanak serta keluarga yang terlibat bagi membantu mereka melalui proses pemulihan selain melaksanakan pemantauan berterusan terhadap kanak-kanak yang dikembalikan ke pangkuan keluarga bagi mengelakkan kejadian penderaan dan pengabaian berulang," katanya.

Menurutnya lagi, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, JKM Pahang mempergiat Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak menerusi kerjasama strategik pelbagai agensi kerajaan dan badan berkanun.

Katanya, usaha pencegahan di peringkat komuniti turut digerakkan menerusi 11 Pasukan Perlindungan Kanak-kanak (PPKK) dan Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) di semua daerah.

Beliau berkata, keperluan melaksanakan pelbagai pendekatan itu penting memandangkan isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak memerlukan perhatian serta tindakan berterusan semua pihak.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved