Pahang selesaikan 90% isu gangguan bekalan air, sasar ganti 607km paip uzur - Wan Rosdy

LocalPolitics
27 Nov 2026 • 5:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pahang selesaikan 90% isu gangguan bekalan air, sasar ganti 607km paip uzur - Wan Rosdy Image from: Pahang selesaikan 90% isu gangguan bekalan air, sasar ganti 607km paip uzur - Wan Rosdy amree27/11/2026 - 17:10 Gambar kredit Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Nov — Kerajaan Pahang berjaya menyelesaikan 90% masalah bekalan air yang dikenal pasti di seluruh negeri tahun ini, namun usaha menaik taraf infrastruktur lama masih menjadi keutamaan bagi mengelakkan gangguan berulang.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri tidak boleh menganggap isu bekalan air selesai sepenuhnya kerana kejadian paip pecah, kebocoran dan kerosakan saluran paip berusia masih boleh berlaku pada bila-bila masa.

 

Sehubungan itu jelas beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Sumber Asli, Tenaga dan Air negeri, tumpuan seterusnya adalah mempercepat penggantian paip lama, khususnya di kawasan yang kerap mengalami isu gangguan bekalan air.

 

Menerusi inisiatif tersebut, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) akan bertanggungjawab bagi menggantikan paip simen asbestos (AC) yang uzur dan kritikal dikenal pasti melibatkan sepanjang 607.3 kilometer kerana mudah mengalami kebocoran.

 

"Langkah aktif berkenaan bukan sahaja dapat mengurangkan gangguan bekalan, malah membantu kerajaan negeri untuk mengurangkan lagi tahap kehilangan air terawat atau air tidak berhasil (NRW)," jelas Wan Rosdy yang juga merupakan ADUN Jelai.

 

Wan Rosdy_Bernama

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di Kuantan pada Jumaat sambil memaklumkan kerajaan negeri menyasarkan kadar NRW dikurangkan kepada 39.5% menjelang 2030 menerusi pengurusan lebih cekap.

 

Kadar NRW Pahang menunjukkan penurunan daripada sebanyak 48.6 peratus pada 2024 kepada 47.5 peratus tahun lalu, sekali gus kemajuan berterusan dalam usaha mengurangkan kehilangan air sebelum sampai kepada pengguna domestik.

 

Sasaran menyelesaikan sekurang-kurangnya 90 peratus masalah bekalan air di Pahang menjelang akhir 2026 diumumkan kerajaan pada 2022 menerusi pelaksanaan 237 projek yang memberi tumpuan kepada kawasan kritikal di seluruh negeri.

 

PAIP yang ditubuhkan secara rasmi pada 1 Februari 2012 menerusi pengkorporatan Jabatan Bekalan Air Pahang (JBAP), turut mengambil alih operasi merawat, membekal dan mengurus perkhidmatan air yang sebelum itu dikendalikan agensi berkenaan.

 

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi 2024, penggunaan air bermeter di Pahang berjumlah 671 juta liter sehari, merangkumi 378 juta liter sehari bagi sektor domestik dan 293 juta liter sehari bagi sektor bukan domestik. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved