
KINABATANGAN: Infrastruktur paip air yang semakin uzur, ditambah kadar Air Tidak Terhasil (NRW) yang tinggi iaitu 72 peratus, dikenal pasti antara faktor utama menyebabkan gangguan bekalan air berpanjangan di beberapa kawasan di daerah ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata setiap aduan yang diterima daripada penduduk akan segera disalurkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil dengan segera.
Antara langkah yang dilaksanakan termasuk menghantar bekalan air ke kawasan terjejas, menggesa kontraktor terlibat mempercepat kerja-kerja pembaikan serta menjalankan pemantauan berkala di lapangan.
Beliau turut berkata, cawangan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Kinabatangan telah diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan kerja pembaikan dalam tempoh ditetapkan termasuk mengenakan kompaun atas kelewatan.
Menurutnya, sistem paip yang semakin uzur menyebabkan tekanan air terpaksa dikurangkan bagi mengelakkan paip pecah yang boleh memburukkan lagi gangguan bekalan kepada pengguna.
Beliau berkata penggantian paip uzur itu telah diluluskan untuk dilaksanakan bersama projek Lebuhraya Pan Borneo dengan anggaran kos keseluruhan kira-kira RM75 juta.
Bahagian projek di Kinabatangan dibahagikan kepada tiga Pakej Kerja (WP) iaitu WP23, WP24 dan WP25 dengan kerja-kerja penggantian paip dimasukkan dalam pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo.
Selain paip uzur, sistem pengambilan air turut berdepan cabaran apabila keadaan sungai yang berlumpur menyebabkan struktur pengambilan air tertimbus mendapan sekali gus menjejaskan proses penyaluran air ke loji rawatan.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri telah meluluskan pemasangan pam apungan di Loji Rawatan Air (LRA) Sukau dan Batu Puteh dengan pelaksanaannya dijadualkan tahun depan.
Kelulusan itu membabitkan peruntukan RM250,000 bagi pemasangan pam apungan di LRA Sukau dan RM250,000 lagi untuk LRA Batu Puteh.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Daily Express pada Khamis bagi mengulas aduan penduduk di empat kampung di Mukim Batu Puteh yang mengalami gangguan bekalan air bersih sejak beberapa bulan lalu.
Kampung terjejas ialah Kampung Sentosa Jaya, Kampung Perpaduan, Kampung Batu Puteh dan Kampung Mengaris, yang membabitkan keseluruhan 629 rumah.
Penduduk mengadu tekanan air rendah dan bekalan sering terputus, malah ada yang mendakwa rumah mereka tidak menerima bekalan air selama lebih seminggu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Perpaduan Datuk Mohd Ugi Azman Amirbek berkata keadaan itu membebankan penduduk dengan sesetengah keluarga terpaksa berdepan keadaan tanpa bekalan air di rumah selama beberapa hari.
Katanya, air merupakan keperluan asas penting dalam kehidupan seharian khususnya untuk menguruskan keperluan rumah tangga, menerima tetamu dan mengendalikan urusan pengebumian.





