Penjawat awam Pahang terima bantuan khas 2 bulan gaji, insentif Aidilfitri RM1,500 - Wan Rosdy

LocalPolitics
20 Nov 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penjawat awam Pahang terima bantuan khas 2 bulan gaji, insentif Aidilfitri RM1,500 - Wan Rosdy Image from: Penjawat awam Pahang terima bantuan khas 2 bulan gaji, insentif Aidilfitri RM1,500 - Wan Rosdy amree20/11/2026 - 15:20 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Nov — Penjawat awam Pahang bakal menerima bantuan kewangan khas bersamaan dua bulan gaji pada tahun depan, selain insentif khas Aidilfitri yang dinaikkan RM500 kepada RM1,500 daripada hanya RM1,000 tahun ini.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan dua bulan gaji itu membabitkan peruntukan berjumlah RM58 juta dengan akan dibayar secara berperingkat dalam dua fasa, masing-masing pada Januari dan Jun 2027.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM12 juta untuk bantuan khas Aidilfitri berjumlah RM1,500 untuk membantu penjawat awam dalam mereka dapat membuat persiapan menyambut perayaan berkenaan pada Mac depan.

 

"Pemberian insentif ini diharap dapat meningkatkan lagi semangat penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan berkualiti, mengekalkan integriti dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan," kata beliau.

 

Pengumuman istimewa tersebut dibuat ketika Wan Rosdy membentangkan Belanjawan Pahang 2027 yang bertemakan ‘Pahang 1st: Kerajaan Prihatin, Rakyat Diutamakan’ di Dewan Undangan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan pada Jumaat.

 

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM4.6 juta bagi sektor media, seni, budaya dan warisan yang disifatkan penting dalam membentuk identiti serta jati diri Pahang untuk jangka panjang.

 

Wan Rosdy_Bernama

 

Daripada jumlah itu, RM300,000 disediakan sebagai sumbangan kepada pengamal media di negeri berkenaan menerusi skim insentif media peringkat negeri yang julung kali diperkenalkan. Mekanisme penyalurannya akan diumumkan kemudian.

 

"Kerajaan negeri turut memperkenalkan Inisiatif Bantuan Pahang Gig State yang menawarkan bayaran sekali beri RM300 kepada pekerja gig berdaftar aktif mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," kata Wan Rosdy.

 

Selain itu, Inisiatif Lindung Kasih Makmur diperkenalkan dengan kerjasama Perkeso Pahang, yang menyediakan insentif sekali beri RM120 kepada setiap wanita berdaftar bagi menampung caruman tahunan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (Lindung Kasih).

 

Sebanyak RM1.5 juta turut diperuntukkan menerusi Tabung Wanita Pahang 1st dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Pahang bagi membantu wanita berdepan isu perundangan, khususnya tuntutan nafkah, kes berkaitan syariah dan keganasan rumah tangga.

 

Wan Rosdy menambah, kerajaan negeri berkenaan mahu memastikan kemakmuran Pahang dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, tanpa ada golongan yang terpinggir daripada pembangunan negeri. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved