KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana sindiket yang terlibat dalam kegiatan pencerobohan tanah kerajaan secara haram di negeri ini termasuk di Cameron Highlands.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan tanah milik kerajaan tidak diteroka secara tidak sah.
Menurutnya, tindakan tersebut dilaksanakan berdasarkan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN).
"Kalau sindiket, kita tidak akan berkompromi dan tindakan telah pun diambil termasuk di Cameron Highlands.
"Kita akan teruskan penguatkuasaan melibatkan kawasan beribu hektar kerana ia tanah kerajaan. Ini menjadi tanggungjawab kami kerajaan yang ada pada hari ini supaya tidak ada mana-mana tanah kerajaan negeri pun yang diceroboh secara haram oleh sindiket," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambah daripada Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS–Cheka) meminta penjelasan berhubung laporan bahawa hampir 5,500 hektar tanah di Cameron Highlands telah dilupuskan oleh kerajaan negeri.
Beliau turut meminta kerajaan menjelaskan kriteria ditetapkan bagi mempertimbangkan pengusaha yang telah lama menjalankan aktiviti pertanian di kawasan tersebut untuk diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan bentuk lesen lain yang bersesuaian.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri bagaimanapun mengambil pendekatan berbeza terhadap individu yang mengusahakan tanah bagi tujuan mencari rezeki melalui proses pemutihan melalui pemberian TOL.
Menurutnya, golongan ini diminta berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) bagi memastikan aktiviti pertanian dapat diteruskan secara terkawal serta memberi hasil kepada kerajaan negeri.
"Kita sudah buat pemutihan, tetapi belum selesai 100 peratus lagi Yang Berhormat Datuk Sri Speaker tetapi usaha-usaha itu telah diselesaikan.
"Lebih baik kita berusaha memutihkan atau mencari jalan yang terbaik daripada kita membiarkan sahaja. Jadi mana-mana yang diberi kelulusan, contohnya empat ekar, mereka menanam lebih daripada itu, yang lebih itu pun kita minta mereka daftarkan.
"Kecuali kawasan-kawasan tertentu yang cerunnya agak tinggi, yang berbahaya, yang dinasihatkan oleh Pejabat Tanah dan Galian dan sebagainya," katanya.
Menjawab pertanyaan ADUN Lantikan, Mohd Fadzil Mohd Ramly mengenai tindakan penguatkuasaan pencerobohan tanah kerajaan negeri, Wan Rosdy menegaskan, kerajaan negeri Pahang melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah melaksanakan operasi pemusnahan kawasan pencerobohan seluas 4,884 ekar di seluruh negeri sejak penubuhan unit penguatkuasaan khas pada 2019.
Ujarnya, selain operasi pemusnahan, kerajaan negeri turut menyita jentera, kenderaan dan peralatan dianggarkan bernilai RM16.65 juta.
“Sebanyak 356 kes pendakwaan juga telah dibuat dengan kutipan denda dan kompaun berjumlah RM7.17 juta.
“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan berdasarkan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara termasuk menduduki atau membina bangunan di atas tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan tanpa kebenaran,” katanya
Wan Rosdy menambah antara kesalahan lain termasuk membersih, membajak, menggali, mengepung atau menanam di atas tanah kerajaan secara tidak sah selain memotong dan memindahkan hasil daripada kawasan terbabit.
Menjawab soalan tambahan mengenai perancangan kerajaan terhadap kawasan yang telah dikuatkuasakan, Wan Rosdy berkata, tanah yang diambil semula tidak dibiarkan begitu sahaja sebaliknya dibangunkan menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Katanya, antara GLC terlibat ialah PKPP Corporation Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), selain diserahkan kepada Orang Asli Corporation (ORACorp) sekiranya melibatkan kawasan masyarakat Orang Asli.
“Kita tidak tebang dan tinggal begitu sahaja. Semua kawasan yang diserahkan kepada GLC negeri dan ORACorp setakat ini berjaya menjana hasil serta membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
“Malah ada juga syarikat swasta yang berdaya saing dan mempunyai modal mencukupi dipertimbangkan untuk membangunkan kawasan tersebut,” katanya.






