Pahang bincang isu eksport pasir sungai bersama NRES minggu depan

LocalEnvironment
15 May 2026 • 1:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pahang bincang isu eksport pasir sungai bersama NRES minggu depan
Wan Rosdy

KUANTAN – Kerajaan Pahang akan mengadakan pertemuan bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) minggu hadapan bagi membincangkan isu pengurusan dan eksport pasir sungai di negeri ini secara menyeluruh.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pertemuan tersebut bertujuan memastikan kepentingan negeri, kesejahteraan rakyat serta peningkatan hasil negeri dapat dijana dengan sebaiknya.

Menurutnya, perkara itu perlu dinilai secara menyeluruh serta berpandukan fakta teknikal yang sebenar.

“Isu tidak boleh disamakan antara aktiviti pengorekan di kawasan hulu sungai dengan kerja-kerja mendalamkan sungai di kawasan hilir dan muara yang mempunyai fungsi serta implikasi berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, pasir di kawasan hilir dan muara sungai kebanyakannya merupakan hasil mendapan semula jadi akibat hakisan tanah, pergerakan arus serta aliran sungai yang berterusan.

Justeru, ujarnya, mendapan yang semakin menebal boleh menyebabkan dasar sungai menjadi cetek dan menjejaskan keupayaan aliran air.

“Keadaan ini bukan sahaja mengganggu sistem saliran sungai, malah meningkatkan risiko limpahan air dan banjir terutama ketika musim tengkujuh serta hujan lebat,” katanya.

Beliau menambah, kerja pengorekan dan pendalaman sungai di kawasan tertentu tidak boleh dilihat semata-mata sebagai aktiviti ekonomi atau perlombongan pasir, sebaliknya merupakan sebahagian daripada langkah mitigasi banjir dan pengurusan sungai.

Menurutnya, jika kerja berkenaan tidak dilaksanakan melalui kaedah konsesi pasir yang terkawal.

"Jadi, kerajaan negeri terpaksa menanggung kos yang besar menggunakan peruntukan awam bagi penyelenggaraan sungai, pengorekan mendapan dan pelaksanaan tebatan banjir secara berterusan," katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan sekatan permit eksport pasir sungai yang dikenakan oleh Kerajaan Persekutuan ketika ini telah memberi kesan langsung kepada operasi industri pasir di Pahang.

Jelasnya, ia melibatkan kawasan hilir dan muara sungai yang sememangnya memerlukan kerja pendalaman secara berkala.

"Oleh yang demikian, isu ini tidak wajar dipolemikkan atau dilihat hanya dari sudut keuntungan komersial semata-mata.

"Sebaliknya, ia perlu difahami dalam konteks yang lebih luas melibatkan pengurusan alam sekitar, mitigasi banjir, kelangsungan industri, peluang ekonomi serta sumber hasil kepada negeri," katanya.