“Pahang wajar diberi layanan saksama” – Tengku Hassanal

LocalPolitics
9 May 2026 • 11:23 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Image from: “Pahang wajar diberi layanan saksama” – Tengku Hassanal

KUANTAN – Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan harapan agar kerajaan Persekutuan terus memberikan perhatian adil terhadap keperluan pembangunan negeri Pahang susulan kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai isu peruntukan kepada negeri itu.

Menerusi satu kenyataan ringkas malam tadi, Tengku Hassanal bertitah bahawa Pahang sewajarnya menerima pertimbangan yang seimbang demi kepentingan rakyat serta pembangunan negeri secara menyeluruh.

Baginda turut menyelitkan rangkap pantun klasik yang membawa mesej penghargaan terhadap jasa dan budi.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Terdahulu, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan akan menyediakan penjelasan terperinci berhubung agihan peruntukan Persekutuan kepada Pahang melalui Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.

Menurut beliau, penjelasan tersebut akan merangkumi keadaan ekonomi negara ketika ini termasuk cabaran fiskal, tekanan ekonomi global serta usaha kerajaan mengawal pembaziran dalam pelaksanaan projek dan perbelanjaan.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa jumlah peruntukan yang disalurkan kepada Pahang adalah besar dan perlu dilihat dalam konteks kemampuan kewangan semasa negara.

Sebelum ini, Tengku Hassanal ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 menyuarakan pandangan berhubung beberapa isu berkaitan pembangunan negeri dan pengurusan peruntukan.

Baginda memaklumkan bahawa Pahang menerima ratusan projek pembangunan melibatkan projek baharu serta sambungan dengan nilai keseluruhan berbilion ringgit.

Dalam masa sama, baginda mengingatkan semua pihak supaya memastikan setiap dana yang disalurkan digunakan secara telus dan berkesan tanpa berlaku ketirisan atau kelewatan pelaksanaan.

Tengku Hassanal turut meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan kerajaan Pusat yang tidak meluluskan beberapa cadangan negeri bagi meningkatkan hasil ekonomi termasuk berkaitan eksport pasir sungai.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved