sarah14/10/2026 - 16:29 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Okt - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperluas akses pembiayaan pasaran modal kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat peringkat pertengahan (MTC) di Sabah, dengan menawarkan pilihan pembiayaan daripada peringkat awal hingga penyenaraian awam bagi menyokong pertumbuhan perniagaan.
Usaha itu menyokong aspirasi Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 untuk membangunkan pasaran modal yang lebih inklusif dan berdaya tahan, selain memperluas akses PMKS dan MTC kepada pembiayaan berasaskan pasaran.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, Pelan Induk Pasaran Modal bertujuan memperluas akses kepada pasaran modal Malaysia dan peluang pembiayaan untuk perusahaan pada pelbagai peringkat pertumbuhan.
“Perkara ini dapat dilihat menerusi Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF), yang telah mengumpulkan dana sebanyak RM7.7 bilion untuk lebih 11,500 PMKS sejak 2019, serta Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Dana Pelaburan Bersama (CoSIF), yang memudah cara pengumpulan dana awam-swasta melebihi RM243 juta sejak dilancarkan tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.
Inisiatif itu diperkenalkan menerusi siri jelajah Kembara Borneo – Sabah bertemakan 'Enterprise to Expansion', yang dirasmikan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun. Kira-kira 200 wakil persatuan perniagaan, agensi kerajaan, pengantara pasaran modal dan usahawan menghadiri program berkenaan.
PMKS menyumbang kira-kira 40% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dan hampir 50% daripada jumlah pekerjaan pada 2025. Di Sabah, keperluan pembiayaan penting bagi membantu perniagaan memanfaatkan pertumbuhan sektor utama negeri dan memperluas operasi ke pasaran baharu.
Sabah dipilih kerana potensi pertumbuhan sektor pertanian, pelancongan dan pembuatan. Pada 2025, pertanian menyumbang 13.9% kepada KDNK negeri, manakala sektor pembuatan berkembang 5% dan menarik pelaburan bernilai RM7.6 bilion. Pelancongan pula kekal sebagai pemacu penting sektor perkhidmatan, yang menyumbang lebih separuh kepada ekonomi negeri.
SC merancang memperkenalkan dana pelaburan strategik bersama baharu pada 2027 dengan kerjasama Kementerian Ekonomi bagi menyokong sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas, selain menarik modal swasta untuk memperluas akses pembiayaan perusahaan.
Menurut Faiz, siri jelajah itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai peluang pembiayaan pasaran modal dan memberi pendedahan praktikal kepada usahawan. Program berkenaan bermula di Pulau Pinang pada Ogos lalu, dengan tumpuan kepada syarikat semikonduktor dan rantaian bekalannya, manakala Selangor menjadi lokasi seterusnya menjelang akhir tahun ini.
Sementara itu, NIMP CoSIF, hasil kerjasama SC dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), membantu perusahaan kecil dan sederhana serta MTC dalam sektor pembuatan strategik mendapatkan modal pertumbuhan bagi mengembangkan operasi, selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional.- DagangNews.com




