
KUALA LUMPUR – Tindakan spontan penyampai radio Kool FM, Aznil Nawawi menghadiahkan wang tunai RM3,000 kepada seorang pemanggil dikenali sebagai Amira nyata menyentuh hati ramai, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidilfitri.
Momen itu menjadi sayu apabila suara wanita berkenaan bergetar menahan sebak sebaik menerima bantuan tersebut ketika siaran langsung berlangsung.
Segmen yang turut dikendalikan Haiza dan Muaz bertukar hiba apabila Amira berkongsi kesukaran hidup yang dihadapi bersama suami.
Menerusi panggilan itu, Amira mengakui mereka kini buntu mencari wang bagi menyediakan duit raya untuk ibu bapa, anak-anak serta sanak saudara.
Menurutnya, suaminya sebagai anak sulung berasa bertanggungjawab untuk memberi kepada keluarga, namun kekangan kewangan menyebabkan mereka terpaksa mempertimbangkan untuk menggunakan duit raya anak-anak sendiri.
Memetik laporan BH Online, Pak Nil kemudian meminta nombor akaun bank Amira sebelum memindahkan wang RM3,000 serta-merta kerana tersentuh dengan luahan tersebut.
“Memang ia berlaku secara spontan. Saya tersentuh dengan cerita dia… ada orang nak keluarkan RM30 pun terasa begitu perit.
“Sumbangan ini bukanlah besar, sekadar menjadi perantara supaya dia dapat merasai nikmat memberi kepada insan tersayang,” katanya.
Menurut Pak Nil, sepanjang bergelar penyampai radio, kisah Amira antara yang paling meruntun jiwanya.
Keikhlasan Dan Doa Jadi Perhatian
Dalam masa sama, kisah berkenaan turut tular di media sosial apabila ramai menyifatkan apa yang menyentuh hati bukan sekadar bantuan RM3,000, sebaliknya keikhlasan Amira sendiri.
Ada yang berpandangan, wanita itu bukan menangis kerana dirinya semata-mata, tetapi kerana tidak mampu menunaikan hasrat untuk memberi kepada keluarga.
Malah, perkongsian semula di Threads turut memetik luahan Amira yang berdoa agar dipinjamkan sedikit rezeki bagi menghadapi Aidilfitri, sekali gus menambahkan lagi rasa sebak dalam kalangan warganet.
Antara reaksi yang dikongsikan:
“Ya Allah… nak cari RM30 pun terasa begitu berat…”
Netizen turut memuji sikap Amira yang masih meletakkan keutamaan kepada orang lain walaupun dalam keadaan serba kekurangan, selain menyifatkan pergantungannya kepada Allah sebagai sesuatu yang luar biasa.
Perkongsian momen itu turut mendapat perhatian selebriti seperti Beto Kusyairy, Neelofa, Zara Zya, Liyana Jasmay dan Izzue Islam yang turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan Pak Nil.
Kisah ini sekali lagi membuktikan bahawa di sebalik kesusahan, keikhlasan dan niat yang baik mampu membuka pintu rezeki dengan cara yang tidak disangka. – The Malaysian Update
The post Pak Nil Hadiah RM3,000 Kepada Pendengar, Kisah Keikhlasan Undang Sebak appeared first on The Malaysian Update.
