Pakar jantung sedih kenang detik terakhir Siti Hasmah

LocalHealth & Fitness
30 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pakar jantung sedih kenang detik terakhir Siti Hasmah

PETALING JAYA: Seorang pakar jantung tidak dapat menyembunyikan kesedihan selepas usaha terakhir menyelamatkan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali tidak berjaya selepas beberapa percubaan bantuan pernafasan (CPR) dilakukan terhadap isteri bekas Perdana Menteri itu.

Felo Klinikal Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Iskandar Mirza berkata, beliau yang bertugas melakukan bantuan terakhir selepas Dr. Siti Hasmah secara tiba-tiba rebah kira-kira pada pukul 7.30 pagi.

Katanya, detik tersebut meninggalkan kesan mendalam kepadanya terutama apabila segala usaha dilakukan untuk menyelamatkan isteri bekas Perdana Menteri itu tidak berhasil.

“Saya rasa sangat sedih kerana ketika perkara ini berlaku, saya yang bertugas untuk melakukan CPR pada Allahyarham Tun Siti pada pukul 7.30 pagi.

“Bagaimanapun usaha itu tidak berhasil, selepas beliau dipanggil Ilahi tidak lama kemudian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Dr Iskandar, pertemuan bersama Dr Siti Hasmah pada malam sebelumnya tidak disangka menjadi pertemuan terakhir selepas dilaporkan tiba-tiba rebah pada pagi berikutnya.

Katanya, tidak banyak perkara yang dibincangkan pada pertemuan terakhir mereka kerana kesihatan Dr. Siti Hasmah berada dalam keadaan baik dan stabil

“Pada malam sebelumnya, beliau stabil dan sedang bersama anak-anaknya. Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga ada. Cuma tiba-tiba pada waktu pagi beliau rebah,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keadaan Tun Dr Mahathir susulan berita pemergian itu, beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu berada dalam keadaan terlalu sedih dan tidak banyak berkata-kata.

“Dia cuma minta mahu berjumpa dengan Tun Siti di rumahnya. Itu yang beliau minta selepas kita habiskan kita punya CPR pada Tun Siti.

“Jadi, dia hanya berkata dia mahu berjumpa dengan Tun Siti di rumah. Itu saja yang dia cakap dan sepanjang masa dia hanya menangis dia dan tidak banyak bercakap,” katanya.

Tambah Dr. Iskandar, beliau adalah antara pasukan perubatan yang ditugaskan khusus untuk memantau kesihatan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Allahyarham Dr. Siti Hasmah secara menyeluruh.

Jelasnya, pasukan itu dianggotai enam doktor IJN yang bergilir-gilir bertugas kerana Dr. Mahathir kerap sibuk, bermesyuarat dan bergerak ke luar negara serta ke Langkawi.

“Saya dah jaga lebih kurang lima tahun bersama Tun Mahathir dengan Tun Siti. Selagi saya di IJN, saya memang dikhaskan untuk menjaga mereka berdua,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau tidak menyangka akan menerima gelombang sokongan yang begitu luar biasa dan positif daripada rakyat Malaysia di media sosial semalam.

Tambahnya, sokongan itu turut datang daripada pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang termasuk rakan-rakan seperjuangan dari luar negara seperti China dan India.

“Dari semalam tak berhenti telefon saya berbunyi, orang ucap terima kasih apa semua. Yang kita tak kenal pun hubungi kita juga.

“Ini merupakan satu benda positif untuk kita, untuk rasa dihargai. Kalau tak dulu, kita ingat kita kerja teruk dan penat, tak akan dapat apa-apa. Maka macam memang agak terharulah, kita lihat semua orang bersatu,” katanya. – UTUSAN

The post Pakar jantung sedih kenang detik terakhir Siti Hasmah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved