Teman Tun Mahathir Sepanjang Pengebumian Tun Siti Hasmah, Dr Iskandar Mirza Sifatkan Penat Bertugas 40 Jam Berbaloi

LocalHealth & Fitness
30 Sep 2026 • 11:18 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pemergian isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada Isnin (28 September) lalu nyata mengejut dan menyedihkan ramai pihak.

Namun ada perkara lain yang turut menjadi bualan warganet iaitu kehadiran tiga individu berlainan bangsa yang dilihat setia menemani Dr Mahathir ketika pengebumian isterinya itu.

Image from: Teman Tun Mahathir Sepanjang Pengebumian Tun Siti Hasmah, Dr Iskandar Mirza Sifatkan Penat Bertugas 40 Jam Berbaloi

7 Individu Di IJN Ditugaskan Rawat Serta Pantau Dr Mahathir & Dr Siti Hasmah

Menurut salah seorang daripada tiga individu terbabit yang merupakan Felo Klinikal Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman di Institut Jantung Negara (IJN), Dr Iskandar Mirza Amran, dia merupakan petugas perubatan yang dipertanggungjawab untuk menjaga Dr Mahathir sepanjang pengebumian Dr Siti Hasmah.

Jelasnya yang berusia 40 tahun, sebanyak tujuh individu dalam pasukan di IJN yang merawat serta memantau kesihatan Dr Mahathir dan isteri.

Pasukan tersebut diketuai oleh Datuk Dr Amin Ariff Nuruddin bersama Datuk Dr Ahmad Khairuddin Mohamed Yusof.

Ia juga turut dibarisi empat lagi individu lain iaitu:

  • Datuk Dr Ghazali Ahmad
  • Dr Hafidz Abd Hadi
  • Dr Hisham Md Sharom
  • Dr Afif Ashaari

“Pada Ahad (27 September) lalu, saya bertugas bagi syif 24 jam. Pada pagi semalam (28 September), kami dimaklumkan ada kod biru iaitu kecemasan membabitkan Dr Siti Hasmah.

“Saya antara individu yang dipanggil untuk melakukan bantuan pernafasan kecemasan atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) terhadap Dr Siti Hasmah sebelum beliau disahkan meninggal dunia,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Ditugaskan Jaga Dr Mahathir Sepanjang Pengebumian, Doktor Lain Ada Prosedur Penting

Jelasnya, dia kemudiannya ditugaskan untuk bersama Dr Mahathir sepanjang proses pengebumian berlangsung memandangkan doktor perubatan lain mempunyai prosedur penting.

“Saya lihat Dr Mahathir memang sedih. Beliau tidak banyak bercakap dan hanya menangis sepanjang masa.

“Saya ada bertanya keadaannya untuk periksa sama ada beliau ada mengalami sesak nafas atau sakit dada dan dimaklumkan Dr Mahathir tidak alami simptom berkenaan,” jelasnya.

Jururawat & Juruterapi Turut Sama Menemani Dr Mahathir

Kongsi Dr Iskandar lagi, bukan hanya dia seorang tetapi terdapat dua lagi individu yang setia menemani Dr Mahathir iaitu jururawat wanita berbangsa India serta juruterapi berbangsa Cina.

Malah, dia sendiri tidak menyangka bahawa khidmat bakti yang dicurahkan bagi menjamin kesihatan bekas pemimpin negara itu akan diperkata dan menyentuh hati ramai pihak.

“Tidak dinafikan persepsi masyarakat terhadap doktor agak merosot kebelakangan ini atas pelbagai faktor. Namun, hantaran tular itu menukar persepsi orang ramai.

“Ramai pihak menghubungi saya mengucapkan terima kasih kerana menjaga Tun Mahathir. Saya rasa gembira apabila kehadiran kami mengubah persepsi negatif terhadap doktor.

“Apabila menerima ucapan terima kasih serta penghargaan daripada orang ramai, saya rasa penat lelah bertugas kira-kira 40 jam semalam amat berbaloi,” jelasnya.

Dr Siti Hasmah Tak Pernah Lupa Tanya Tentang Isteri, Selalu Beli Sambal Buat Staf IJN

Dr Iskandar dalam satu hantaran di Facebook turut berkongsi kebaikan Dr Siti Hasmah sepanjang dia merawat beliau di IJN.

Kongsinya, Dr Siti Hasmah yang memanggilnya dengan gelaran Mirza sering membeli sambal goreng dalam kuantiti yang banyak untuk dikongsi bersama kakitangan IJN yang lain sekaligus menggambarkan sifat pemurah dalam diri.

Apa yang lebih menyentuh hati, Dr Siti Hasmah selalu bertanyakan keadaan isterinya meskipun mereka tidak pernah bersua muka.

“Apa yang paling menyentuh hati saya ialah setiap kali kami berbual, beliau hampir selalu bertanyakan tentang isteri saya.

“Walaupun mereka tidak pernah bertemu, Tun tetap mengingati untuk bertanya khabar isteri saya, warna kegemarannya dan sama ada dia menyukai sambal goreng,” kongsinya.

Malah, dia menjelaskan pemergian Tun Dr Siti Hasmah memberi kesan yang mendalam serta menyifatkan Tun Dr Siti Hasmah sebagai seorang yang mesra, lemah lembut dan mempunyai rasa humor yang begitu menyenangkan.

Tambahnya lagi, dia akan menghargai setiap perbualan dan menganggap ia sebagai satu keistimewaan mengenali Allahyarhamah.

“Salam takziah buat keluarga dan insan tersayang Tun Dr. Siti Hasmah. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

“Semoga segala kebaikan, jasa dan sifat penyayang yang dicurahkan sepanjang hayatnya terus hidup dalam sanubari seluruh rakyat Malaysia,” tulisnya.

Baca Artikel Berkaitan: Kehilangan Besar Buat Negara, Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Dirasai Banyak Pemimpin & Kenalan

Baca Artikel Berkaitan: Tun Dr Siti Hasmah Meninggal Dunia Di IJN Pagi Ini, Hembus Nafas Terakhir Pada Usia 100 Tahun

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved